Gambar hiasan - Lebuh raya sesak menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri.
Gambar hiasan - Lebuh raya sesak menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri.

Cuti raya: NUTP mohon KPM berikan cuti khas pada 19 April

AZLEENDA SAHALUDIN
10 Apr 2023 03:22pm
A
A
A

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) membuat permohonan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memberikan cuti khas kepada guru pada 19 April ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Presidennya, Aminuddin Awang, cuti khas berkenaan dianggap sebagai satu keperluan dengan mengambil kira jangkaan bahawa satu Syawal berkemungkinan jatuh pada 21 April ini, awal sehari berbanding tarikh yang ditetapkan.

“NUTP ingin merujuk kenyataan yang dibuat oleh Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di mana negara-negara Islam kebanyakannya akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan satu Syawal pada 20 April yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan tahun ini.

“Isu sekarang adalah cuti perayaan dalam sesi persekolahan di mana KPM telah membuat ketetapan cuti Aidilfitri bagi semua negeri pada 20 April (Khamis) dengan andaian semasa perancangan cuti dibuat bahawa Hari Raya Aidilfitri akan jatuh pada 22 April (Sabtu).

"Justeru, NUTP berharap tarikh cuti Aidilfitri di buat bermula 19 April (Rabu) bagi membolehkan guru-guru serta semua lapisan masyarakat yang mempunyai anak di sekolah mempunyai masa selama dua hari merentas negeri bagi tujuan balik kampung untuk beraya," katanya.

Beliau turut memaklumkan, berdasarkan perkembangan terbaru berkaitan jangkaan satu Syawal itu, NUTP berharap KPM dapat mempertimbangkan cuti khas pada 19 April ini bagi memudahkan urusan guru terutamanya mereka yang bertugas di negeri lain.

"Pemberian cuti khas ini adalah untuk memberi lebih ruang kepada guru dan rakyat yang terpaksa merentas negeri untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Perkara ini juga sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesesakan jalan raya dan memberikan lebih keselesaan kepada semua pihak," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok