Debaran keputusan SPM 2021, pelajar boleh mula semak pada 16 Jun

Adlan Farhan Azwan
07 Jun 2022 02:15pm
A
A
A

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) selaras dengan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Kini, pelajar hanya mempunyai satu peperiksaan penting sepanjang tempoh persekolahan iaitu Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang mana akan digunakan untuk melanjutkan pengajian pada peringkat seterusnya.

Oleh itu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah mengumumkan keputusan SPM 2021 akan dikeluarkan pada 16 Jun.

Menurutnya, pelajar boleh dapatkan keputusan mereka pada 16 Jun ini melalui tiga kaedah.

“Calon boleh dapatkan keputusan SPM di sekolah, secara dalam talian dan khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya dalam satu video yang dimuat naik menerusi laman Facebook milik beliau.

Bagi mendapatkan rumusan keputusan peperiksaan SPM 2021 secara SMS,taip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.

Secara atas talian pula, pelajar boleh melayari pautan myresultspm.moe.gov.my dan ikuti arahan yang diberikan.

Pelajar boleh mula menggunakan salah satu kaedah ini bermula jam 10 pagi pada tarikh tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga sempat memberikan nasihat kepada pelajar-pelajar yang bakal mengetahui keputusan SPM mereka tidak lama lagi.

“Apa yang paling penting, perjalanan anak-anak masih jauh, banyak peluang dan ruang di hadapan sana.

“Apa sahaja keputusan SPM nanti, terimalah dengan hati yang terbuka, terus bergerak ke hadapan dan lakukan yang terbaik. Insya-ALLAH,” jelasnya.

Artikel berkaitan

Inspirasi ramai! Pelajar 10A+ SPM kongsi rahsia kejayaan untuk calon peperiksaan tahun ini

Permohonan kemasukan IPG, Kolej Matrikulasi sesi 2022/2023 Fasa Dua bermula 1 Jun

PKIBM perkenal MyUni, sistem permohonan dalam talian pertama ke IPTS


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok