Fadhlina
Fadhlina

Dewan Rakyat lulus RUU Pendidikan (Pindaan) 2025, wajibkan pendidikan menengah

31 Jul 2025 09:19am

Sistem pendidikan negara membuka lembaran baharu apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025, bertujuan mewajibkan pendidikan menengah, diluluskan Dewan Rakyat. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menggulung perbahasan RUU itu menyifatkan pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) sebagai satu detik bersejarah dan amat penting dalam pembangunan modal insan menerusi sistem pendidikan negara.

"Pendidikan ini adalah hak kelahiran setiap anak-anak, maknanya setiap anak-anak ini lahir dengan hak untuk mendapat pendidikan," katanya.

Terdahulu, ketika sesi perbahasan RUU berkenaan, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyatakan sokongan terhadap pindaan itu serta menyifatkannya sebagai reformasi penting dalam sistem pendidikan negara.

Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkata, inisiatif itu merupakan satu reformasi pendidikan yang bermakna dalam usaha melonjakkan mutu pendidikan dan pembangunan modal insan negara.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan MADANI atas inisiatif berani tersebut dan berpandangan langkah itu sepatutnya dilaksanakan lebih awal bagi memastikan setiap anak mendapat pendidikan sewajarnya.

"Ia akan membolehkan pembinaan modal insan diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi daripada sebelumnya, supaya kita setaraf dengan negara-negara lain. Bayangkan kita hanya ada pendidikan wajib enam tahun, macam mana nak jadi negara maju?" katanya.

Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkata, pendidikan menengah wajib mampu memutuskan kitaran kemiskinan dan memperkukuh pemikiran kritis, selain meningkatkan kebolehpasaran pelajar dan kemahiran berkomunikasi untuk menyertai ekonomi dan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) menyatakan usaha ini tepat pada masanya untuk membina generasi berilmu, berdaya saing dan memiliki nilai karamah insaniah seperti terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Beliau berkata, pindaan akta itu membuktikan komitmen kerajaan untuk menjamin hak pendidikan setiap anak hingga ke tahap minimum Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional setara yang diiktiraf kerajaan.

Teresa Kok (PH-Seputeh) pula berkata, kementerian perlu menyelami punca sebenar keciciran seperti pendapatan rendah memandangkan kos tidak langsung pendidikan masih membebankan ibu bapa miskin.

RUU itu antara lain bagi memasukkan seksyen baharu 32A yang memperuntukkan tiap-tiap ibu bapa yang anaknya merupakan warganegara dan anak itu tinggal di Malaysia, hendaklah memastikan mereka didaftarkan sebagai murid di institusi pendidikan bagi pendidikan menengah dan terus menjadi murid sepanjang tempoh pendidikan menengah. - Bernama

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp