KPM-DBP-SINARBESTARI-2023
KPM-DBP-SINARBESTARI-2023

Dr Hazami Jahari dilantik Ketua Pengarah DBP baharu

nadzarul.amir
19 Jan 2023 09:56am
A
A
A

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan pelantikan Dr Hazami Jahari sebagai Ketua Pengarah (KP) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu berkuat kuasa semalam.


Beliau menggantikan Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran yang menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 28 November tahun lalu.


Sebelum ini, Hazami Jahari yang berusia 55 tahun merupakan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP.


Beliau memegang Ijazah Doktor Falsafah Kesusasteraan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan berkhidmat di DBP bermula 1992 dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang bahasa dan sastera.


Selain itu, beliau turut memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (Penulisan Kreatif dan Deskriptif) dan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Penulisan Kreatif dan Deskriptif) dari Universiti Malaya (UM).


Hazami Jahari aktif dalam melaksanakan pelbagai program berkaitan dengan pembinaan, pengembangan dan penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai usaha untuk mengangkat dan memartabatkan bahasa kebangsaan.


Penyerahan surat pelantikan kepada Hazami Jahari dilakukan di Kementerian Pendidikan (KPM) disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, Ramzi Mansor.


Menurut kenyataan media yang dikeluarkan KPM, Hazami Jahari diharap dapat menerajui DBP dengan komitmen yang lebih utuh dalam memartabatkan bahasa Melayu dan melestarikan budaya membaca dengan tekad untuk terus mencerdaskan anak bangsa.


“DBP meletakkan sepenuh keyakinan atas kepimpinan Hazami Jahari dalam usaha memacu dan memperkasakan hala tuju DBP seiring dengan imejnya sebagai badan berautoriti yang memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, memperuntukkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan iaitu bahasa rasmi negara.


“Sejajar kredibiliti sebagai Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP percaya beliau berupaya meneruskan kecemerlangan DBP dengan pelbagai program yang dirancang menerusi Pelan Strategik DBP 2021–2025 yang memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu,” kata kenyataan itu lagi.


Artikel berkaitan


KPM janji tambah baik proses pemberian wang bantuan ke sekolah


7 teras utama jadi tumpuan KPM


KPM terus pantau dan lakukan intervensi murid berisiko cicir

 


 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok