No Image Caption

Satu-satunya wakil Malaysia berjaya rangkul Anugerah Khas SWARA Awards 2025

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
12 Dec 2025 11:32am

Kejayaan membanggakan kembali terukir apabila Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau, Dr Sirhajwan Idek diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas SWARA Awards 2025 baru-baru ini.

Program anjuran sebuah badan pendidikan serantau, SEAMEO BIOTROP yang berpangkalan di Bogor, Indonesia.

Daripada 12 finalis yang disenarai pendek dari seluruh Asia Tenggara, hanya empat peserta dipilih menerima pengiktirafan utama meliputi kategori Amalan Terbaik, Konsep Program Terbaik, Anugerah Pilihan Orang Awam dan Anugerah Khas.

Lebih menarik lagi, kejayaan Sirhajwan menjadi lebih bermakna apabila dia muncul sebagai satu-satunya finalis dari Malaysia yang berjaya membawa pulang anugerah dalam pertandingan berprestij yang diumumkan melalui anugerah hybrid berlangsung pada 10 Disember lalu.

Anugerah tersebut mengiktiraf usaha luar biasa dalam inisiatif pengurusan sisa makanan yang memberi impak positif kepada komuniti dan alam sekitar.

Sirhajwan dipilih atas dedikasinya membimbing pelajar kitar semula sisa makanan seperti sisik ikan, buah-buahan dan nasi sehingga terhasilnya produk makanan, kosmetik serta bahan pencuci.

No Image Caption

Melalui bimbingannya juga, pelajar bukan sahaja berjaya memenangi pelbagai pertandingan, malah menerbitkan artikel ilmiah dalam jurnal sekali gus mengkomersialkan produk ciptaan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mereka turut melaksanakan program kesukarelawanan menggunakan produk inovasi berasaskan sisa makanan, termasuk membersihkan longkang sekolah dengan bahan pencuci hijau.

Inisiatif ini turut mendapat liputan media tempatan sekali gus mengetengahkan keberkesanan projek yang dinamakan upcycled food waste social entrepreneurship.

Sebelum ini, Sirhajwan juga pernah meraih ELTons Innovation Awards (British Council, 2024) dan Ikon Belia Karismatik Negara (KBS, 2022).

Kata Sirhajwan lagi, ibunya, Bintek Haji Abdul Rahman merupakan sumber inspirasi utama yang membentuk komitmennya dalam dunia pendidikan.

Pada masa sama, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang turut menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian ini dan menyifatkannya sebagai bukti bahawa profesion perguruan mampu memacu perubahan besar yang memberi manfaat kepada masyarakat serta kelestarian alam sekitar.

Ringkasan AI

  • Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, Dr Sirhajwan Idek, menerima Anugerah Khas SWARA Awards 2025
  • Anugerah ini dianjurkan oleh SEAMEO BIOTROP di Bogor, Indonesia
  • Sirhajwan adalah satu-satunya finalis dari Malaysia yang memenangi anugerah dalam program ini
  • Anugerah tersebut diiktiraf atas inisiatif pengurusan sisa makanan yang memberikan impak positif kepada komuniti dan alam sekitar
  • Inisiatif Sirhajwan meliputi bimbingan kepada pelajar dalam kitar semula sisa makanan, menyumbang kepada kemenangan dalam pertandingan dan penerbitan artikel ilmiah
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp