
Education Malaysia ke Arab Saudi: Perkukuh laluan akademik & kebajikan pelajar
Kerajaan bercadang menubuhkan Education Malaysia (EM) di Arab Saudi bagi menyelaras kerjasama pendidikan dua hala termasuk program akademik, biasiswa dan kebajikan pelajar kedua-dua negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir berkata, cadangan itu dibangkitkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Osamah Dakhel R Al-Ahmadi pada pagi tadi.
Menurut beliau, pihak Arab Saudi turut mengalu-alukan cadangan berkenaan dan Malaysia akan menghantar nota verbal (lisan) kepada kerajaan negara itu sebagai langkah susulan.
“EM akan berfungsi sebagai pusat penyelarasan program pendidikan dua hala, merangkumi aspek penghantaran pelajar, pelaksanaan biasiswa serta program pendidikan lain antara Malaysia dan Arab Saudi,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada Rabu.
Zambry menjelaskan, penubuhan EM penting memandangkan ribuan pelajar Arab Saudi sedang melanjutkan pengajian di Malaysia, manakala ribuan pelajar Malaysia turut menuntut di negara itu.
“Hal-hal yang menyentuh kebajikan serta perkara-perkara yang perlu ditangani sekiranya timbul isu berkaitan pendidikan akan dibantu melalui EM ini,” ujarnya.
Tambah beliau, EM dicadang diletakkan di bawah kelolaan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi memudahkan pengurusan dan komunikasi antara kedua-dua pihak.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha strategik memperkukuh hubungan pendidikan Malaysia–Arab Saudi, selain memastikan kebajikan serta urusan akademik pelajar sentiasa terpelihara dan terselaras dengan lebih sistematik. – Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan bercadang menubuhkan Education Malaysia (EM) di Arab Saudi
- Cadangan ini dibangkitkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir bersama Duta Besar Arab Saudi
- EM berfungsi sebagai pusat penyelarasan program pendidikan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi
- Penubuhan EM penting untuk menguruskan kebajikan dan akademik ribuan pelajar kedua negara
- EM dicadang diletakkan di bawah kelolaan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi