
Empat sekolah di Negeri Sembilan terjejas akibat Ribut Tropika Senyar
Empat sekolah rendah di Negeri Sembilan membabitkan seramai 1,038 murid melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan banjir disebabkan Ribut Tropika Senyar yang berlaku pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan, Khalidah Omar berkata, empat sekolah terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Jijan (420 murid), SK Sega (132 murid), SK Jimah (426 murid) dan SJKC Ladang Tanah Merah Site A (60 murid).
Menurutnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Port Dickson dan SMK Dato Shamsudin Nain di Rantau pula dilaporkan mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat diterbangkan ribut.
"Jurutera JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah sedang mengenal pasti segala kerosakan. Kita masih mengumpulkan maklumat daripada beberapa sekolah lain lagi yang turut terjejas.

"Namun situasi terkawal dan langkah susulan telah diambil," katanya.
Beliau berkata, dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di SK Jimah berikutan rumah mereka dinaiki banjir.
Tambahnya, dua calon lagi dilaporkan berdepan masalah untuk ke sekolah bagi menghadapi peperiksaan kerana jalan untuk ke sekolah mereka dinaiki banjir.
"Saya akan berbincang dengan pihak sekolah berkenaan calon yang terjejas banjir ini sama ada tempatkan mereka di asrama sekolah menengah terdekat atau tinggal sementara di rumah saudara.
"Perkembangan lanjut kami akan maklumkan," katanya.
