sigmund-HsTnjCVQ798-unsplash
sigmund-HsTnjCVQ798-unsplash

Garis Panduan dan Arahan Peperiksaan SPM 2021, mohon calon hadam info penting ini!

Roshlawaty Md Raieh
03 Feb 2022 11:41am
A
A
A

Bermula 2 Mac hingga 29 Mac depan, akan berlangsunglah peperiksaan bertulis bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Ketika ini, tentunya calon-calon peperiksaan sedang sibuk mengulangkaji pelajaran semata-mata mahu mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam SPM 2021.

Di sebalik kesibukan membaca, mengulangkaji dan membuat soalan latih tubi, calon-calon dinasihatkan agar mengetahui dan mengambil tahu tentang segala arahan yang ditetapkan sepanjang mereka menduduki peperiksaan di sekolah.

Menerusi Garis Panduan dan Arahan Peperiksaan SPM 2021 yang dikeluarkan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan (KPM), ada disenaraikan beberapa arahan berkaitan perkara ini.

GPSBestari kongsikan sebahagian info yang terdapat pada Bahagian D untuk Calon - Arahan, Amaran, Larangan dan Peringatan.

Semoga panduan ini membantu calon SPM 2021 untuk membuat persediaan awal sebelum tibanya waktu peperiksaan nanti.

Ini maklumatnya.

Baca juga

5 tip untuk menjadi pelajar yang berjaya

Teknik mudah hafal jadual berkala unsur bagi subjek Kimia

*****

1) Arahan Am

1.1 Calon wajib menduduki semua kertas peperiksaan bagi mata pelajaran yang didaftar. Calon yang tidak dapat menduduki mana-mana kertas peperiksaan bertulis atau melaksanakan Ujian Bertutur, Ujian Mendengar, Ujian Lisan dan Ujian Amali Sains akan dianggap TIDAK HADIR bagi mata pelajaran berkenaan. Calon yang tidak dapat menduduki atau tidak hadir sesuatu kertas peperiksaan dikehendaki mengemukakan dokumen sokongan seperti surat perakuan doktor atau surat kebenaran khas Pengarah Peperiksaan. Dokumen sokongan ini hendaklah diserahkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan sebelum tamat tempoh peperiksaan SPM 2021.

1.2 Calon hendaklah menyemak butiran pada Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan sebelum peperiksaan. Calon hendaklah memaklumkan kepada pihak JPN sekiranya terdapat kesilapan maklumat dan mengisi Borang Pembetulan Maklumat Calon. Calon dikenakan bayaran RM30. Pembayaran hendaklah dibuat kepada pihak JPN atas nama Akauntan Negara Malaysia menggunakan Kiriman Wang/Wang Pos.

1.3 Calon hendaklah mengemukakan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan di pusat peperiksaan selain dari pusat peperiksaan asal calon. Ketua Pengawas Peperiksaan hendaklah menyemak maklumat calon dan maklumat mata pelajaran sebelum membenarkan calon menumpang di pusat peperiksaan seliaannya.

1.4 Calon hendaklah membaca Garis Panduan dan Arahan Peperiksaan yang dinyatakan dalam Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2021 dan menandatangani Borang Pengakuan Calon.

2) Arahan di dewan/bilik peperiksaan

2.1 Calon hendaklah berada di tempat duduk di dalam dewan/bilik peperiksaan 15 minit sebelum peperiksaan dimulakan.

2.2 Calon hendaklah meletakkan kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri atau Borang Pengenalan Diri Calon (LP/Am 118) atau surat perakuan pengenalan siri di penjuru kanan sebelah label meja sepanjang waktu peperiksaan. Calon dilarang menduduki peperiksaan tanpa dokumen berkenaan.

2.3 Calon dibenarkan menduduki peperiksaan atas budi bicara Ketua Pengawas Peperiksaan sekiranya tiba 30 minit selepas peperiksaan dimulakan. Calon mesti mengemukakan alasan yang kukuh. Masa gantian tidak akan diberikan.

2.4 Calon boleh membuat bantahan sekiranya telah mendaftar untuk menduduki sesuatu mata pelajaran dalam tempoh pendaftaran tetapi kod kertas peperiksaan tersebut tidak tercatat dalam mana-mana dokumen rujukan calon. Calon hendaklah mengemukakan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan dari Lembaga Peperiksaan yang mengandungi kod kertas, nama kertas dan jenis peperiksaan SPM 2021 sebagai bukti pendaftaran. Calon tidak dikenakan bayaran. Lembaga Peperiksaan berhak untuk tidak mengeluarkan keputusan calon sekiranya tiada bukti pendaftaran telah dilaksanakan.

3) Amaran di dewan/bilik peperiksaan

Calon tidak dibenarkan:

3.1 Melipat atau merenyuk kertas jawapan sama ada yang belum atau pun yang telah digunakan.

3.2 Keluar dari dewan/bilik peperiksaan 30 minit pertama peperiksaan dimulakan dan 10 minit terakhir sebelum peperiksaan ditamatkan kecuali dengan kebenaran Ketua Pengawas Peperiksaan.

3.3 Membawa keluar dari dewan/bilik peperiksaan kertas peperiksaan sebelum peperiksaan tamat.

3.4 Mengganggu ketenteraman di dalam atau berhampiran dewan/bilik peperiksaan semasa peperiksaan.

3.5 Memakai pakaian yang tidak sopan dan mencolok mata.

3.6 Merokok di dalam dewan/bilik peperiksaan.

4) Larangan di dewan/bilik peperiksaan

Calon dilarang:

4.1 Membawa masuk sebarang catatan sama ada pada pakaian atau anggota badan, nota, dokumen seperti buku, lukisan, grafik, akhbar, kamus, kertas, jadual waktu peperiksaan, pernyataan pendaftaran peperiksaan, telefon bimbit, alat-alat komunikasi atau peranti elektronik, bekas alat tulis dan beg ke dalam dewan/bilik peperiksaan kecuali alat tambahan yang dibenarkan semasa peperiksaan.

4.2 Menulis nota pada pakaian, anggota badan, dinding atau meja tulis di dewan/bilik peperiksaan.

4.3 Mendedahkan kertas peperiksaan atau/dan jawapan peperiksaan sehingga boleh dibaca oleh calon lain.

4.4 Memberikan pertolongan, mendapatkan pertolongan, berhubung dengan orang lain di dalam atau di luar dewan/bilik peperiksaan walau dengan apa cara sekalipun yang boleh disabitkan dengan perbuatan salah laku dalam peperiksaan.

4.5 Menukar kertas peperiksaan atau/dan jawapan peperiksaan dengan calon lain.

4.6 Menukar tempat duduk yang telah ditetapkan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengawas Peperiksaan.

4.7 Menyamar atau membenarkan orang lain menyamar bagi pihak calon.

4.8 Membuat rujukan di luar dewan/bilik peperiksaan semasa peperiksaan.

4.9 Membawa kertas peperiksaan keluar dari dewan/bilik peperiksaan semasa peperiksaan.

4.10 Membawa kertas/skrip jawapan peperiksaan sama ada yang belum ataupun yang telah digunakan keluar dari dewan/bilik peperiksaan .

4.11 Membawa kertas peperiksaan tertutup keluar dari dewan/bilik peperiksaan .

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

5) Peringatan

Calon yang melanggar sebarang peraturan peperiksaan dalam Bahagian D, Perkara 7 Larangan di dewan/bilik peperiksaan dianggap salah laku dan akan menyebabkan calon dikenakan tindakan tatatertib. Menurut Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) 1997 dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) salah laku ertinya menipu, menyamar, menyeludup apa-apa yang tidak dibenarkan atau apa-apa salah laku yang lain yang disifatkan sebagai suatu salah laku serius oleh Lembaga Peperiksaan. Calon yang disabitkan dengan mana-mana salah laku boleh dikenakan tindakan berikut:

i.Keputusan peperiksaan digantung sementara menunggu selesainya penyiasatan;

ii.Keputusan peperiksaan mana-mana kertas peperiksaan dibatalkan;

iii. Keputusan peperiksaan yang dikendalikan di suatu pusat peperiksaan diisytiharkan terbatal

Sumber: Lembaga Peperiksaan, KPM

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok