No Image Caption

Garis panduan pemakaian seragam sekolah masih dikekalkan

AZLEENDA SAHALUDIN
27 Feb 2024 06:45pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih mengekalkan garis panduan pemakaian pakaian sekolah sedia ada seperti yang dinyatakan Januari lalu, bagi sesi persekolahan akan datang termasuklah di 12 kawasan yang diramal berdepan dengan suhu panas tahap berjaga-jaga.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, sekiranya cuaca bertambah serius, KPM akan mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum membuat sebarang keputusan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berucap pada Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara Tahun 2024 di Hotel Tamu, Kuala Lumpur pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berucap pada Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara Tahun 2024 di Hotel Tamu, Kuala Lumpur pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Setakat ini, laporan yang diterima KPM masih dalam keadaan terkawal dan disebabkan itu tiada perubahan garis panduan pemakaian seragam sekolah iaitu dua hari pakaian uniform, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum.

“KPM selalu mengamalkan sikap prihatin dan akan melakukan perbincangan dengan MetMalaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya cuaca bertambah serius,” katanya ketika ditemui pada Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, MetMalaysia melaporkan 12 kawasan di empat negeri diramalkan berdepan suhu panas tahap berjaga-jaga dengan suhu maksimum mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius.

Ia termasuk Perlis dan beberapa kawasan di Kedah seperti Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap Sik, Baling serta Kulim. Selain itu, Kuala Kangsar, Perak dan Beaufort, Sabah.

Mengulas lanjut mengenai Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara, Kah Woh berkata, seramai 100 orang peserta mengutarakan pandangan, cadangan dan buah fikiran yang terdiri daripada wakil Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Pendidikan Awal Kanak-Kanak, kumpulan pendidikan inklusif, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, badan berkanun, persatuan keagamaan, Institusi pendidikan swasta, universiti awam dan swasta, serta pempengaruh pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, menerusi sesi ini pihak KPM telah menerima sejumlah 724 cadangan untuk pembangunan pendidikan negara iaitu sebanyak 175 cadangan berkaitan dasar, 167 cadangan berkenaan murid dan 126 cadangan berkaitan guru.

“Sesi libat urus kali ini merupakan salah satu daripada lima siri jelajah yang dijalankan di seluruh negara sepanjang tempoh Februari hingga Julai 2024.

“Ia diikuti dengan lima perbincangan kumpulan berfokus dan Town Hall yang dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tempoh Ogos hingga Disember 2024.

“Beberapa bengkel analisis dan pemetaan dilaksanakan bagi memastikan input sesi libat urus dijadikan asas dalam membangunkan pelan pembangunan pendidikan yang baru,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok