
Gelombang #JusticeForZara tular di media sosial, desak siasatan dedah kebenaran
Gelombang solidariti terhadap seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, yang dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah terus memuncak, susulan tularnya tanda pagar #JusticeForZara sejak Khamis lalu.
Fenomena itu tercetus selepas satu hantaran tular di Facebook oleh individu yang mendakwa sebagai ahli keluarga pelajar berkenaan, mendedahkan kronologi penuh kejadian menyayat hati itu.
Pendedahan tersebut menarik perhatian ribuan pengguna media sosial sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan terhadap pengurusan asrama, kawalan warden serta keperluan siasatan telus daripada pihak berkuasa.
"Kami reda, tapi kami tidak akan berdiam. Zara, kami mandikanmu dengan air mata.
"Tapi kami akan bela maruahmu dengan kebenaran," itu antara luahan penuh emosi daripada waris mangsa yang berkongsi secara terperinci tentang penderitaan didakwa dialami oleh arwah sepanjang berada di asrama sejak mendaftar pada Februari lalu.
Keluarga mendakwa, arwah pernah memaklumkan tentang kehilangan wang saku, dipaksa membelanja rakan, diarahkan keluar lewat malam untuk mengambil air panas serta dakwaan diganggu secara seksual oleh rakan sebilik.
Malah dalam minggu-minggu terakhir sebelum kejadian, Zara turut menyuarakan ketakutan terhadap seorang pelajar senior yang tidak berpuas hati selepas dia menegur rakan yang tidak menunaikan solat.
Meskipun ibu kandung, Noraidah Lamat, 45, pernah turun ke asrama untuk memberi amaran, arwah tetap memilih untuk terus bersekolah, memendam tekanan demi menjaga keharmonian dan tidak mahu dianggap lemah.
Pada hari kejadian, keluarga memaklumkan bahawa warden telah menghubungi ibu sekitar jam 3 pagi untuk memaklumkan bahawa anaknya 'jatuh dan koma'.
Namun, mereka mendakwa tidak dimaklumkan butiran lanjut ketika itu dan rakaman perbualan masih disimpan oleh ibu.
Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di tepi longkang konkrit dengan kecederaan serius pada kaki, tetapi wajahnya bersih tanpa sebarang luka.
Menurut doktor, kecederaan dalaman yang dialami amat parah termasuk tengkorak retak, beberapa tulang patah dan kegagalan organ dalaman.
"Kalau hidup pun, Zara akan kekal seperti mayat," ujar doktor, menurut kenyataan keluarga.
Ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian turut menimbulkan persoalan besar dalam kalangan waris dan orang awam.
Mereka menegaskan bahawa siasatan bebas dan menyeluruh perlu dijalankan tanpa sebarang campur tangan pihak berkepentingan, selain menggesa agar prosedur keselamatan di asrama-asrama sekolah disemak dan ditambah baik dengan segera.
Keluarga turut menegaskan bahawa mereka mempunyai hak untuk bersuara sebagai waris dan berkongsi pengalaman mereka, selagi tidak menyalahi undang-undang.
Mereka juga menggesa orang awam agar tidak meninggalkan komen-komen jelik atau menyebarkan kenyataan keluarga tanpa izin.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu hantaran terbaharu menyatakan bahawa beliau mengikut rapat perkembangan kes kematian pelajar tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan pihak polis.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sentiasa memberikan kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan.