SYED SADDIQ-SINARBESTARI-2022
SYED SADDIQ-SINARBESTARI-2022

Golongan pendidik paling boleh dipercayai - Syed Saddiq

nadzarul.amir
02 Dec 2022 07:34am
A
A
A

Golongan pendidik merupakan insan yang akan mencorak generasi masa hadapan.

Pengorbanan dan dedikasi diterjemahkan golongan pendidik dalam memainkan peranan sebagai 'ibu bapa' kedua perlu diberi kepercayaan.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kepercayaan perlu diberikan kepada golongan pendidik di negara ini.

"Dari segi sudut autonomi dalam pendidikan, saya rasa ia sangat penting kerana boleh eksperimentasi jalan terbaik, sistem pengajaran, subjek-subjek, kokurikulum, pembelajaran di luar kelas dan banyak lagi.

"Ia sekali gus berupaya menambah baik perkara-perkara tersebut," katanya kepada Sinar Bestari ketika ditemui di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Muar menambah, golongan pendidik perlu memiliki kuasa autonomi di mana penggubal dasar itu akan membimbing untuk mendapatkan semua pandangan dan melaksanakannya.

Syed Saddiq memberitahu, sebagai contoh di peringkat sekolah, boleh melihat modal Sekolah Amanah yang merupakan inisiatif Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

"Ia terbukti mampu meningkatkan prestasi para pelajar malah berjaya mendapat pengiktirafan dunia," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, mengikut kajian antarabangsa, golongan pendidik di negara ini merupakan insan paling berdedikasi dalam membentuk masa depan para pelajar mereka.

"Golongan pendidik ini, sanggup mengeluarkan duit poket sendiri semata-mata ingin membantu para pelajar terutama daripada keluarga susah.

"Apa sahaja yang golongan pendidik ini tidak lakukan, mereka akan mencetak kerja rumah, membeli buku, pakaian dan kasut sekolah serta pelbagai lagi pengorbanan ditunjukkan mereka," ujarnya.

Justeru, katanya, golongan pendidik di negara ini merupakan insan yang paling boleh dipercayai untuk diberikan autonomi.

Mengulas mengenai pendidikan bertaraf antarabangsa, Syed Saddiq melahirkan kebimbangan apabila ramai golongan muda tidak berminat untuk menyambung pengajian ke universiti.

Beliau berkata, senario berkenaan berlaku berikutan tempoh masa pengajian terlalu lama, hutang pendidikan tinggi dan gaji yang rendah.

"Keadaan tersebut menyebabkan para pelajar yang menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil keputusan untuk bekerja.

"Terdapat banyak sebab mendorong keadaan ini, salah satunya adalah tempoh pembelajaran sangat panjang," katanya.

Di negara-negara lain, beliau menjelaskan, pendekatan micro-credential telah diguna pakai dalam memastikan golongan muda dapat melangkah ke alam pekerjaan dengan kemahiran-kemahiran tertentu melalui kursus jangka pendek.

"Pendekatan micro-credential merupakan kursus jangka pendek tetapi mempunyai pengiktirafan antarabangsa.

"Kosnya agak mahal tetapi jika kerajaan dapat membantu, ia dapat mengurangkan beban para pelajar," katanya.

Micro-credential adalah kursus-kursus daripada program yang telah mendapat akreditasi ditawarkan dalam unit pembelajaran yang lebih kecil.

Ia bagi membolehkan para pelajar belajar dengan lebih fokus kepada topik atau unit pembelajaran mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka malah merupakan satu kaedah memperkasa kepakaran ‘upskilling’ spesifik dan menutup jurang kemahiran ‘skill gap’.

Artikel berkaitan

Boleh jadi pensyarah tanpa ijazah pendidikan, ini cara-caranya

Senarai penuh Menteri Pendidikan Malaysia, jom kenali mereka!

Pendidikan STEM perlu diberi pendedahan awal


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok