Gondol 6 anugerah siswa cemerlang di Qatar, Nusaybah terima ucapan tahniah Agong dan Permaisuri
Media sosial hari ini masih lagi meraikan kejayaan penuntut jurusan Bachelor International Relations and Affairs, School of Foreign Services, University Georgetown, Qatar, Nusaybah Maszlee, 24, yang menggondol enam anugerah siswa baru-baru ini.
Terbaharu, anak sulung mantan Menteri Pendidikan ke-19, Dr Maszlee Malik baru sahaja menerima ucapan tahniah daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Jumaat.
Istana Negara dalam satu kenyataan di Facebook berkata, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Nusaybah yang sekali gus mengharumkan nama negara.
“Ia juga membuktikan rakyat Malaysia dengan iltizam dan usaha yang bersungguh-sungguh mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat dunia.
“Semoga kecemerlangan beliau menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat di negara ini khususnya generasi muda untuk bekerja keras dan memberikan yang terbaik bagi mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing,” menurut Istana Negara.
Tambah kenyataan itu, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Nusaybah dan mendoakan agar mahasiswa ini dilimpahi kejayaan dan kecemerlangan berterusan.
Selain Seri Paduka Baginda berdua, turut mengucapkan tahniah atas kepintaran Nusaybah ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Tahniah saya ucapkan kepada saudari Nusaybah Maszlee di atas kecemerlangan mengharumkan nama negara.
“Moga kejayaan saudari Nusaybah yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia menjadi inspirasi kepada semua, insya-ALLAH,” tulisnya di akaun Facebooknya.
Nusaybah yang merupakan anak pasangan Maszlee (kini pensyarah di sebuah kolej universiti swasta di Cyberjaya) dan Dr Hamidah Mat (juga pensyarah) meraih enam anugerah siswa ketika pengajiannya di Qatar.
Antara anugerah yang diraih gadis bijak ini adalah memperoleh markah cemerlang bagi keseluruhan semester iaitu purata gred kumulatif (CGPA) 4.0, Anugerah Suma Cum Laude (pelajar paling cemerlang), Anugerah Pingat Dekan, Tesis Terbaik dan Anugerah Pelajar Paling Cemerlang pengkhususan Politik dan Hubungan Antarabangsa.
Melihatkan kejayaan luar jangkaan yang dirangkul penuntut University Georgetown ini, Sinar Bestari yakin pasti ada amalan yang dilakukan oleh Nusaybah.
“Saya tiada sebarang rahsia dan amalan tertentu sepanjang pengajian. Cuma apa yang dilakukan adalah sentiasa berusaha, berdoa dan tawakal.
“Selain itu, pemilihan bidang pengajian dan subjek yang diminati juga antara faktor kecemerlangan saya dalam pelajaran.
“Ini kerana pilihan yang tepat dalam jurusan dan subjek mampu menjadikan proses pembelajaran itu lebih menarik, tidak menjadi beban ketika dalam kelas dan semasa ulang kaji,” ujar Nusaybah.
Seterusnya, Nusaybah berkata, pembacaan awal topik-topik tertentu sebelum pembelajaran bermula banyak membantu dirinya cemerlang dalam pelajaran.
“Sebelum ke kuliah, saya akan ulang kaji terlebih dahulu topik yang diberikan. Ini bagi memastikan saya mendapat idea awal topik yang akan dipelajari dan dibincangkan selain dapat menyumbang dengan aktif dalam proses pembelajaran pada hari tersebut,” jelasnya.