Ahmad Muizuddin, penerima Anugerah Graduan Cemerlang, bakal terbang ke Perancis September ini.
Ahmad Muizuddin, penerima Anugerah Graduan Cemerlang, bakal terbang ke Perancis September ini.

Graduan KKTM terima Anugerah Graduan Cemerlang, bakal terbang ke Perancis

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
10 Jun 2024 04:41pm

Siapa sangka bidang ‘Bricklaying’ atau lebih mudah dikenali sebagai pekerjaan mengikat batu-bata boleh mengangkat kejayaan graduan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas, Kelantan ke peringkat luar negara apabila terpilih mewakili negara dalam Pertandingan Kemahiran Peringkat Dunia (Worldskills) di Perancis.

Ahmad Muizuddin Mohd Radzi, graduan Diploma Kejuruteraan Pembangunan itu turut menerima Anugerah Graduan Cemerlang di Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2024 pada Isnin.

Kata Muizuddin, dia tidak pernah menyangka bidang bricklaying yang dipilihnya itu dapat menjadi satu bakat kemahiran yang diiktiraf bukan sahaja dalam negara tetapi turut dikenali di negara-negara maju lain.

Buktinya, pada tahun lalu juga dia turut menyertai Pertandingan Kemahiran Dunia Asia di Abu Dhabi dalam bidang berkenaan dan berjaya mendapat Medal of Exellence pada pertandingan tersebut.

“Kalau ikutkan bidang pengajian saya dalam diploma ini iaitu Kejuruteraan Pembangunan adalah satu ilmu yang sangat luas untuk saya ceburi.

“Justeru, saya memilih untuk kecilkan cabang tersebut dengan memilih bricklaying ini dan ia satu kemahiran yang boleh saya katakan sangat diberi perhatian dalam dan luar negara.

“Walaupun mungkin sesetengah pihak berpendapat ia adalah bidang kemahiran yang sering dikaitkan dengan pekerja asing, tetapi sebenarnya ia memerlukan perancangan teliti, pemasangan yang terbaik demi mendapatkan hasil yang juga terbaik,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Anak kedua daripada lapan beradik itu memberitahu, perancangan untuk ke pertandingan di Perancis yang akan berlangsung September depan telahpun dibuat dengan pelbagai latihan intensif mengikut jadual telah ditetapkan.

“Setakat ini, saya mengikut jadual latihan ditetapkan Encik Norazhar yang merupakan pakar dan banyak membantu saya dalam bidang bricklaying ini.

“Insya-ALLAH saya berharap untuk meraih emas semestinya dalam pertandingan di Perancis nanti,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya dalam bidang bricklaying ini, Muizuddin memberitahu, dia sudahpun menerima tawaran pekerjaan secara kontrak di United Kingdom selepas tamat sahaja pertandingannya di Perancis.

Beritahunya, dia akan bekerja selama tiga tahun di negara asing itu selain turut bercadang mempraktikkan segala ilmu dan kemahiran yang diperolehnya.

Mengakhiri perbualan, graduan ini turut menitip pesanan kepada para pelajar yang sedang menuntut ilmu ketika ini agar tidak mudah berputus asa dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Teruskan usaha kerana gagal sekali bukan bererti gagal semalanya. Teruskan bangkit,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp