Guru Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam tidak cukup - Mohd Radzi

Adlan Farhan Azwan
29 Mar 2022 05:10pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam merupakan antara mata pelajaran yang tidak mempunyai jumlah guru yang mencukupi di sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya sudah menyenaraikan mata pelajaran yang masih tidak mencukupi bilangan guru.

“Namun, berdasarkan senarai yang telah dikemas kini, antara mata pelajaran yang tidak mempunyai bekalan guru yang mencukupi dalam kalangan graduan yang mempunyai ikhtisas adalah beberapa mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris.

“Kita mencari jalan terbaik bagi menangani masalah tersebut tetapi jumlah graduan yang ada amat terhad,” katanya ketika Persidangan Dewan Negara hari ini.

Baca juga

Penyediaan lokar di sekolah dibuat secara berfasa – KPM

Sesi persekolahan fasa endemik: Cabaran baharu guru, pelajar

Menurut beliau, selain Bahasa Inggeris, mata pelajaran lain seperti Pendidikan Islam juga menghadapi masalah dari segi bekalan guru yang mempunyai ikhtisas.

“Terdapat beberapa mata pelajaran lain yang kita beri perhatian dan ada senarainya. Namun, secara keseluruhannya yang paling kritikal untuk kita dapatkan adalah Bahasa Inggeris.

“Pelbagai pendekatan yang sedang diusahakan bagi memastikan kita mempunyai bekalan yang mencukupi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan oleh Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Mat Arip mengenai mata pelajaran yang paling kritikal dari segi bekalannya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Terdahulu, Mohd Radzi memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran (KMP) dalam pengambilan guru secara 'one-off' bagi memastikan tiada lambakan graduan yang mengambil lkhtisas Pendidikan.

Beliau menjelaskan langkah yang diperkenalkan itu bakal memberi peluang lebih luas kepada para graduan untuk memohon berdasarkan pemetaan ijazah sarjana muda yang bersesuaian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok