Kah Woh
Kah Woh

Guru besar, sekolah diberi autonomi tentukan pelaksanaan pengajaran berpasukan

12 Nov 2025 10:25pm

Konsep co-teaching atau pengajaran berpasukan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan dilaksanakan secara berperingkat dengan memberi autonomi kepada guru besar untuk menentukan kaedah pelaksanaannya di sekolah masing-masing.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan kaedah pedagogi berkenaan tidak membebankan guru, selain mengambil kira tahap kesediaan sekolah dan tenaga pengajar yang ada.

"KPM akan melaksanakan amalan pedagogi ini secara berhati-hati, dengan mengambil kira semua aspek pelaksanaan secara berperingkat dan mengambil kira tahap ketersediaan sekolah serta guru.

"Dalam isu ini, panitia mata pelajaran dan juga guru besar mempunyai autonomi bagi menentukan pendekatan co-teaching di sekolah," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi KPM di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata, autonomi itu termasuk keputusan sama ada untuk mengekalkan dua guru dalam satu kelas atau melaksanakan pembelajaran dengan seorang guru, sekiranya berlaku kekangan tenaga pengajar.

"Sekolah mempunyai guru yang mencukupi untuk pelaksanaan co-teaching bagi mata pelajaran bersepadu ini, tetapi pada suatu masa yang lain mungkin ada guru bercuti sakit atau guru bercuti bersalin.

"Dalam situasi ini, guru besar mempunyai autonomi untuk menentukan sama ada hendak menggantikan guru yang tidak ada dengan guru yang lain atau hanya menggunakan seorang guru sahaja dalam mata pembelajaran bersepadu ini," katanya.

Kah Woh berkata, pengajaran berpasukan ditakrifkan sebagai satu kaedah pedagogi yang melibatkan dua guru yang setara, bekerjasama secara sinergi dalam satu bilik darjah bagi merancang, melaksana dan mentaksir proses pengajaran dan pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebelum pelaksanaan penuh, KPM telah menjalankan projek rintis melibatkan 130 guru di 65 sekolah rendah pelbagai kategori, bagi menilai keberkesanan pendekatan itu.

Justeru, Kah Woh berkata, KPM akan memastikan tenaga pengajar mencukupi bagi menjayakan pelaksanaan tersebut tanpa menambah beban kepada guru sedia ada.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM66,198,630,600 yang diperuntukkan kepada KPM dalam Belanjawan 2026 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 30 Ahli Parlimen. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Konsep co-teaching atau pengajaran berpasukan akan dilaksanakan secara berperingkat oleh KPM dengan memberi autonomi kepada guru besar
  • Langkah ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan ini tidak membebankan guru sambil mengambil kira tahap kesediaan sekolah dan tenaga pengajar
  • Autonomi termasuk keputusan sama ada untuk mengekalkan dua guru dalam satu kelas atau melaksanaan dengan seorang guru jika ada kekangan
  • Pengajaran berpasukan melibatkan dua guru yang setara, bekerjasama dalam satu bilik darjah bagi merancang, melaksanakan, dan menilai pengajaran
  • Sebelum pelaksanaan penuh, KPM telah menjalankan projek rintis dengan 130 guru di 65 sekolah rendah untuk menilai keberkesanan pendekatan itu
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp