
Guru ditahan, didakwa pukul murid tidak pandai bermain bola jaring
Polis menerima dua laporan membabitkan seorang guru yang disyaki memukul kanak-kanak perempuan berusia lima tahun kerana dikatakan tidak pandai bermain bola jaring dalam satu sesi latihan Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian tersebut daripada waris mangsa, namun satu daripadanya telah ditarik balik oleh keluarga.
Menurutnya, guru wanita berusia 28 tahun itu telah ditahan pada Sabtu bagi membantu siasatan.
"Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 24 saat yang memaparkan seorang wanita dipercayai guru terbabit menangis dan memohon maaf kepada ibu bapa mangsa.
Difahamkan, dua kanak-kanak perempuan itu mengalami kecederaan pada tangan dan kaki, dipercayai akibat dirotan ketika menjalani latihan sukan di sekolah mereka di Kota Kuala Muda, Kedah.
Mereka dipercayai gagal menguasai teknik dalam latihan bola jaring yang diadakan sebagai persediaan menyertai kejohanan peringkat daerah minggu depan.
Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda untuk mendapatkan rawatan sebelum laporan polis dibuat.
WARTAWAN: SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA