
Guru merokok, hisap vape dalam sekolah boleh didenda RM10,000, penjara 2 tahun
Guru yang didapati merokok atau menggunakan rokok elektronik (vape) dalam pekarangan sekolah boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan guru yang menghisap vape, terutamanya di hadapan murid, kerana ia jelas melanggar Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan peranan mereka sebagai teladan sahsiah.
"Guru yang didapati menggunakan vape atau merokok dalam pekarangan sekolah boleh dikenakan tindakan berdasarkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024," katanya menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman web Parlimen pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan tindakan diambil untuk mengekang penggunaan vape dalam kalangan pelajar, khususnya apabila terdapat dakwaan segelintir guru turut menggunakan vape secara terbuka sehingga memberi contoh negatif kepada murid dan menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan.
Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan KPM juga sedang meminda Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) dengan memasukkan subperaturan larangan merokok, termasuk apa-apa jenis rokok, perkakasan, alat elektronik dan cecair bagi vape.
"Pindaan itu selari dengan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang digazetkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Oktober 2024.
"Larangan tersebut termasuk penjualan produk berkaitan vape kepada individu di bawah umur 18 tahun serta tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang menjualnya dalam lingkungan 40 meter dari pagar atau sempadan sekolah," ujarnya.