
Murid Tahun Dua patah tulang hidung diserang rakan sekolah
Seorang murid lelaki Tahun Dua di sebuah sekolah di daerah Kuala Terengganu, Terengganu mendakwa retak tulang mata dan patah tulang hidung selepas diserang beberapa rakan sekolah pada 30 Julai lepas.
Ibu mangsa yang berusia 37 tahun berkata, kejadian itu disedari selepas anaknya pulang dari sekolah dalam keadaan berdarah dan lebam di bahagian muka pada kira-kira 4 petang.
"Dia pulang dalam keadaan berdarah dan lebam selepas diserang oleh sekumpulan murid di sekolah. Ada yang memegang tangan...ada yang menolak dan menumbuk muka sehingga terjatuh.
"Saya segera membawanya ke sebuah klinik swasta dan imbasan sinar X menunjukkan tulang hidungnya patah dan tulang mata retak... pihak klinik menasihatkan supaya saya membuat laporan polis dan merujuk kes itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Dia berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu terpaksa menjalani pembedahan untuk menyambung semula tulang hidung yang patah di HSNZ pagi tadi.
Wanita itu mendakwa kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku namun dia mendiamkan diri kerana tidak mahu menimbulkan masalah tetapi insiden kali ini lebih teruk menyebabkan dia bimbang terhadap keselamatan anaknya.
"Anak saya pernah mengadu dibuli dan dilontar dengan batu sehingga cedera di mata pada Jun lepas namun saya tidak membuat sebarang laporan tetapi kali ini saya ambil keputusan untuk buat laporan polis dan ambil tindakan undang-undang," katanya sambil memaklumkan bahawa pihak sekolah ada memanggil ibu bapa terlibat pada Isnin lepas untuk berbincang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek.
"Kes ini telah dirujuk kepada pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu," katanya. - Bernama