Tangkap layar video yang dipetik daripada aplikasi X.
Tangkap layar video yang dipetik daripada aplikasi X.

Guru sebak, cadangan bangunkan sekolah pendidikan khas akan disegerakan oleh PM

AZLEENDA SAHALUDIN
05 Sep 2023 09:07am
A
A
A

Seorang guru dari sebuah sekolah pendidikan khas di Johor sebak apabila pandangannya untuk membantu pelajar berkeperluan khas orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran (pekak) akhirnya didengari dan diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memetik satu hantaran video menerusi aplikasi X, guru yang dikenali sebagai Erni menyatakan, pelajar-pelajar pendidikan khas terbabit terpaksa ke Pulau Pinang hanya untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disebabkan tiada sekolah saluran pendidikan khas di negeri tersebut.

“Hari ini saya bertanggungjawab untuk menyuarakan dan berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat pertimbangkan bagi membantu pelajar OKU di Johor.

“Mereka ini pelajar yang berpotensi baik dari sudut akademik mahupun kokurikulum namun tiada saluran sekolah bagi pelajar-pelajar OKU untuk mengambil SPM di negeri tersebut.

“Jadi, pelajar terpaksa dihantar ke satu sekolah di Pulau Pinang sahaja yang membolehkan mereka mengambil SPM sama seperti pelajar normal yang lain,” katanya seperti dipetik dalam satu video pada sesi Temu Anwar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor pada Ahad.

Mendengar luahan guru berkenaan, Anwar menyatakan akan membawa saluran sekolah pendidikan khas bagi kategori sekolah menengah disegerakan.

Katanya, walaupun sibuk dalam membantu memperjuangkan masalah rakyat namun masih terdapat sesetengah isu yang tidak sampai ke pengetahuannya.

“Masa kini kita ada kuasa sebagai kerajaan, dengar masalah dan kita cuba laksanakanlah. Ini yang cuba dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Kalau pun kita anggap kita ini pandai sebagai pemimpin besar, tiada ruginya kita turun padang dan dengar anak-anak ini bercakap (menyatakan pendapat).

“Untuk itu, insya-ALLAH (cadangan bina sekolah menengah OKU pekak di Johor) akan masuk dalam perancangan segera,” ujarnya menjawab soalan yang mengetengahkan isu pelajar berkeperluan khas (OKU pekak) di Johor terpaksa melakukan perjalanan jauh untuk mengambil peperiksaan di Pulau Pinang.

Program Temu Anwar yang berlangsung selama sejam setengah itu dihadiri hampir 4,000 pelajar, pendidik dan orang awam.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok