
Guru tendang kepala pelajar kerana bersiul
Sebuah rakaman tular memaparkan tindakan seorang guru menendang kepala pelajarnya.
Klip yang dikongsi akaun @tkpdemak di Instagram pada Rabu itu didakwa berlaku di Sekolah Menengah Pertama (SMP) Negeri 1 Karangawen di Kabupaten Demak, Provinsi Jawa Tengah di Indonesia dan telah ditonton ribuan kali.
Rakaman video berdurasi pendek itu jelas menunjukkan guru lelaki berkenaan yang dikenali sebagai D berdiri di atas meja sambil memarahi pelajar lelaki yang duduk di depannya. Dia kemudiannya menendang kepala pelajar itu sebanyak tiga kali.
Kapsyen klip itu menjelaskan tindakan sedemikian dilakukan hanya kerana mangsa, yang dikenali sebagai G, bersiul ketika sedang menjawab ujian.
Susulan insiden yang meraih pelbagai reaksi warganet, Ketua Dinas Pendidikan dan Kebudayaan Kabupaten Demak, Haris Wahyudi Ridwan mengesahkan mereka sudah menerima aduan.
"Saya telah menugaskan sebuah pasukan untuk menyiasat kes tersebut. Kami masih belum mengetahui motif sebenar guru itu melakukan kekerasan tersebut kerana siasatan masih dijalankan. Tindakan susulan secara pentadbiran akan diambil ke atas guru tersebut," jelasnya lagi. – Agensi
*WARTAWAN: MARLISSA MOHAMMAD KAMAL