Hadiah RM50,000 untuk sekolah, milik siapakah?  
Hadiah RM50,000 untuk sekolah, milik siapakah?  

Hadiah RM50,000 untuk sekolah, milik siapakah?  

Roshlawaty Md Raieh
25 Aug 2022 04:24pm
A
A
A

Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) yang baru sahaja berakhir 16 Ogos lalu dan menawarkan hadiah hampir RM50,000, telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari sekolah di seluruh negara.

Pelbagai sekolah telah menghantar penyertaan dan kesemuanya berjaya memenuhi syarat-syarat penyertaan daripada pihak penganjur.

Menurut Pengarah Program ASSSB, Meen Tahrin, pihaknya berasa amat teruja di atas sambutan yang diberikan walaupun ini merupakan pertandingan yang julung kali seumpamanya diadakan.

“Ketika tarikh tutup semakin hampir, ketika itulah kami menerima banyak borang penyertaan.

“Teruja kerana sambutan yang sebegitu baik daripada pihak sekolah terhadap pertandingan ini,” katanya.

Tambah beliau, proses penjurian untuk calon-calon ASSSB sedang berlangsung pada ketika ini.

Seramai enam juri dari pelbagai latar belakang dalam industri pendidikan bertungkus lumus memberi markah untuk memilih satu sekolah yang terbaik daripada setiap kategori yang dipertandingkan.

“Insya-ALLAH keputusan akan diperolehi dan pengumumannya akan dilakukan pada bulan Oktober dalam sebuah majlis yang akan diadakan di Hotel Concorde Shah Alam.

“Untuk semua sekolah yang telah menghantar penyertaan, tahniah diucapkan kerana semua slaid dan video yang dihantar adalah terbaik di antara yang terbaik.  Syabas,” katanya.

Sementara itu, Meen turut memberitahu, kriteria permarkahan bagi ASSSB adalah berdasarkan ciri-ciri sekolah S.M.A.R.T

“Ciri-ciri sekolah S.M.A.R.T merangkumi S untuk skil pengurusan dan pembangunan sekolah; M untuk mahir atau kemahiran guru menyampaikan ilmu kepada pelajar; A untuk atribut atau kemenjadian pelajar; R untuk relevan projek/program sekolah yang dalam keperluan pendidikan abad ke 21 dan T untuk penggunaan teknologi/ICT yang digunakan sepanjang pandemik,” katanya lanjut.

ASSSB merupakan anugerah yang diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun ini untuk memberi pengiktirafan kepada sekolah-sekolah yang menepati ciri-ciri S.M.A.R.T.

Anugerah ini bertujuan menyokong hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) ke arah mencapai Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Ia juga menyokong pengurusan sekolah untuk sentiasa berdaya saing dalam pembangunan sekolah bagi menjadi yang terbaik dan menyokong kemenjadian para guru untuk sentiasa memberikan idea kreatif dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran ke arah pendidik kalis masa depan.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu sekolah rendah dan menengah dan pihak sekolah yang menyertai pertandingan ini perlu melengkapkan borang serta pembentangan dalam bentuk slide.

Malah, setiap penyertaan perlu pencalonan dua guru terbaik dan tiga pelajar terbaik untuk dinilai.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok