No Image Caption

Hadis 40 di sekolah hanya sasar guru dan pelajar Islam- KPM

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
25 Aug 2023 02:28pm
A
A
A



Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi hanya mensasarkan guru dan pelajar beragama Islam sahaja.

Menurut kementerian tersebut, inisiatif berkenaan bertujuan menerapkan semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan pemahaman agama dalam kalangan mereka.

Program rintis itu melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.

“Inisiatif ini diharapkan mampu melahirkan generasi anak yang baik lagi cerdik seterusnya mengangkat karamah insaniah berdasarkan tiga elemen utama iaitu adab, akhlak dan integriti.

Artikel Berkaitan:


“KPM sentiasa berusaha menerapkan nilai-nilai murni yang merangkumi elemen perpaduan, silang budaya, kepelbagaian agama dan saling menghormati antara kaum dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan di institusi pendidikan bawah kelolaannya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Baru-baru ini, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Jelas majlis berkenaan, pihaknya berhujah Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia menerima arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok