Menurut KPM, DLP adalah satu program di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Menurut KPM, DLP adalah satu program di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Info penting DLP buat guru dan pelajar

ROSHLAWATY MD RAIEH
08 Dec 2023 08:30am
A
A
A

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal mewajibkan sekurang-kurangnya satu kelas pengajaran sepenuhnya dalam bahasa Melayu bagi murid Tahun Satu di sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kelas itu akan bermula tahun depan dan ia dibuat selepas mengambil kira usaha memperkasa penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid.

"Kita akan mulakan balik kelas 'non DLP' (tanpa DLP) pada tahun 2024.

“Ini untuk memastikan komitmen kerajaan menjaga bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu terus dipertahan," ujar Fadhlina.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) Peringkat Jawatankuasa bagi kementerian itu, Selasa lalu.

Susulan pemakluman KPM mengenai kelas bahasa Melayu bagi sekolah yang melaksanakan DLP, Sinar Bestari yakin ramai dalam kalangan masyarakat di negara ini tidak mengetahui secara jelas tentang DLP.

Oleh itu, kami berkongsi sebahagian info penting mengenai program tersebut seperti dipetik menerusi portal KPM.

DLP adalah satu program di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Artikel Berkaitan:

Ia dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) KPM secara rintis pada tahun 2016 melibatkan 300 buah sekolah.

DLP memberi pilihan kepada sekolah-sekolah yang layak untuk menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam bahasa Inggeris, selain bahasa Melayu bagi subjek Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Pelaksanaan DLP bertujuan menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris murid melalui peningkatan masa pendedahan kepada bahasa Inggeris secara tidak langsung.

Dengan pengukuhan dwibahasa seseorang murid, DLP boleh memberi peluang kepada murid untuk meningkatkan akses, penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat global dan meningkatkan kebolehpasaran murid di alam pekerjaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok