Hanya 3 elemen sahaja perlu dimuatkan dalam RPH - KPM

ROSHLAWATY MD RAIEH
15 Mar 2023 11:21am
A
A
A

Sebelum sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bermula, setiap guru perlu menyediakan ringkasan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) masing-masing.

Isi kandungan RPH perlulah terdiri daripada beberapa maklumat seperti mata pelajaran, tarikh, hari, bidang pembelajaran, objektif, kriteria kejayaan, aktiviti PdP, bahan bantu mengajar (BBM), elemen merentas kurikulum, tahap pemikiran, peta pemikiran i-Think, penilaian PdP, tahap penguasaan, penilaian dan refleksi.

Bagaimanapun, baru-baru ini Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan penyediaan rekod PdP guru di sekolah perlu patuh dan selari dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 1999: Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi sahaja.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, hanya tiga elemen ini sahaja yang perlu ditulis oleh guru-guru dalam RPH bagi setiap sesi pengajaran.

“Dengan elemen ini, RPH yang dihasilkan akan menjadi ringkas dan tidak membebankan guru serta ia boleh dilaksanakan pada sesi persekolahan akan datang,” ujarnya.

Sebelum ini, KPM memaklumkan yang mereka akan terus mendukung dan memberikan tumpuan kepada tujuh teras utama dalam hasrat melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

Dalam teras kelima yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi oleh para guru, KPM bersetuju untuk melaksanakan langkah segera, hasil daripada laporan awal yang diterima antaranya adalah menetapkan ringkasan RPH di peringkat KPM bagi memastikan kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 1999: Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

Hari ini, Sinar Bestari ingin kongsikan sebahagian isi kandungan Surat Pekeliling Ikhtisas sebagai rujukan warga pendidik.

Artikel Berkaitan:

Penyediaan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 1999: Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran tersebut adalah bertujuan memansuhkan Surat Pekeliling KPM 256: Buku Rekod Mengajar Guru, bertarikh 1 Julai 1963.

Menurut isi kandungan itu, semenjak Surat Pekeliling KPM 256 dikuatkuasakan, terdapat beberapa amalan di mana maklumat-maklumat yang tidak berkaitan dengan PdP telah dimasukkan ke dalam Buku Rekod Mengajar Guru sehingga mengubah sifat dan tujuan sebenar buku itu diadakan.

Oleh itu, dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 1999: Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran yang baharu ini, maka rekod PdP guru hendaklah mengandungi hanya dua unsur sahaja iaitu Rancangan Pelajaran Tahunan dan Rancangan Pelajaran Harian.

Pengetua, Guru Besar atau wakilnya hendaklah memastikan kedua-dua unsur tersebut dibuat mengikut prinsip-prinsip perancangan yang mutakhir.

1) Rancangan Pelajaran Tahunan

Rancangan Pelajaran Tahunan mengandungi secara ringkas isi PdP berdasarkan sukatan pelajaran kebangsaan yang dikeluarkan oleh KPM.

2) Rancangan Pelajaran Harian

Ia merupakan terjemahan Rancangan Pelajaran Tahunan yang mengandungi sekurang-kurangnya maklumat seperti objektif, cara bagaimana hendak mencapai objektif dan kenyataan sejauh mana objektif itu tercapai.

Menurut surat pekeliling baharu itu lagi, rekod PdP boleh disediakan dalam apa jua bentuk yang munasabah dan sesuai dengan teknologi semasa.

la haruslah diurus dengan sempurna dan dapat dikemukakan dengan serta merta apabila dikehendaki oleh pihak yang diberi kuasa.

Bahan-bahan lain yang berkaitan dengan penyediaan Rancangan Pelajaran Tahunan dan Rancangan Pelajaran Harian juga perlu diurus dengan baik dan dapat dikemukakan dengan segera apabila dikehendaki oleh pihak berkaitan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok