HomeBuletinHanya RM100 sebagai modal, kini graduan UMK raih pulangan 5 angka

Artikel Berkaitan

Hanya RM100 sebagai modal, kini graduan UMK raih pulangan 5 angka

Bermula dengan niat ingin mencuba, akhirnya menjadi punca rezeki sehingga berjaya memiliki kilang sendiri sekali gus membuka banyak peluang pekerjaan kepada ramai suri rumah, pesara dan pekerja profesional untuk mencari pendapatan sampingan.

Percubaan Hassmira Che [email protected] Hassan berhasil apabila produk makanan Risoles keluaran syarikatnya D’has Food Empire yang dikenali dengan nama RisolesMY Frozen diterima baik sehingga meraih pendapatan bulanan lima angka.

Memulakan operasi perniagaan dengan hanya bermodalkan wang simpanan sebanyak RM100, ternyata strategi pemasaran yang hanya dilakukan dari rumahnya di Banting, Selangor, berjaya memberi impak positif kepada bisnes Hassmira.

Pada awalnya, syarikat yang diusahakan bersama suami, Mohd Dzulkifli Mokhli hanya menjual risoles yang sedia dimakan (ready made) dan sejuk beku (frozen) di kawasan kejiranan serta kenalan saja.

Katanya, produk itu dibuat secara kecil-kecilan dan tidak menjangkakan ia mula mendapat sambutan ramai walaupun pada permulaannya risoles ini adalah makanan yang agak asing di Malaysia.

“Sebelum ini, risoles amat popular di Indonesia sebagai makanan minum petang dan turut menjadi makanan ringan pilihan keluarga. Sejak itu, saya mendapat idea untuk mengkomersialkan produk ini dengan jenama RisolesMY Frozen.

“Alhamdulillah, melalui strategi pemasaran yang betul, kami berjaya menghasilkan 6,000 hingga 10,000 paket risoles sebulan untuk diedarkan di seluruh negara melalui pengedar dan ejen yang dilantik serta dipasarkan ke 70 buah kedai halalmart di seluruh negara,” katanya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Dan Perniagaan (Perdagangan), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu.

Ditanya mengenai strategi pemasaran perniagaan yang digunakan untuk melonjakkan jualan produk, anak kelahiran Machang, Kelantan itu berkata, media sosial banyak membantu memperkenalkan produknya terutamanya dalam situasi penularan pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau juga mempraktikkan ilmu dan kemahiran keusahawanan yang dipelajari di UMK untuk meningkatkan perniagaannya.

Jika sebelum ini, beliau hanya mampu menghasilkan sekitar 100 sehingga 500 paket sahaja sebulan namun dengan strategi pemasaran yang dilakukan itu, pengeluaran produk semakin laju dan keuntungan yang diperolehi juga semakin meningkat.

“Berbekalkan hasil keuntungan pertama yang diperoleh itu, saya mula menaik taraf mesin dan peralatan untuk meningkatkan lagi proses pengeluaran produk kerana mendapat permintaan yang tinggi.

“Kini, seiring dengan permintaan yang meningkat daripada beberapa pasar raya besar seperti Halalmart dan ejen serta stokis, saya meluaskan pengeluaran produk makanan dan berjaya membuka sebuah kilang yang lebih besar untuk peningkatan produksi yang terletak di Jenjarom, Banting, Selangor,” ujarnya.

Hassmira turut bercadang untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat yang lebih tinggi dengan menembusi pasaran di pasar raya yang lebih besar dan menjual produk di stesen minyak di seluruh negara.

“Semua kejayaan yang dicapai pada hari ini adalah berkat kesabaran, doa keluarga dan sokongan daripada agensi kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Kunci kejayaan saya adalah fokus pada matlamat yang ingin dicapai di mana usahawan perlu tetapkan satu visi dan misi perniagaan yang jelas supaya kita tahu hala tuju perniagaan yang kita inginkan.

“Oleh itu, saya mencadangkan supaya UMK membentuk Circle Usahawan untuk perkongsian idea, rangkaian, pengalaman dan kemahiran untuk membantu meluaskan serta mengembangkan lagi perniagaan,” tuturnya.

Artikel Terkini