Seramai 222 guru daripada 3,227 guru 'one-off' tidak melaporkan diri atau menolak tawaran ke Sarawak.
Seramai 222 guru daripada 3,227 guru 'one-off' tidak melaporkan diri atau menolak tawaran ke Sarawak.

Ini pandangan peribadi warganet mengenai ratusan guru tolak penempatan ke Sarawak

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
07 Mar 2023 04:54pm

Semalam kecoh di media sosial apabila 222 guru daripada 3,227 guru 'one-off' yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu sehingga 30 September tahun lalu.

Data yang dikongsi oleh Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi jawapan lisan di laman sesawang Parlimen memaklumkan 3,227 guru 'one-off' terbabit merangkumi 2,621 guru lantikan tetap dan 606 guru lagi secara 'Contract of Services (CoS)' yang ditempatkan di Sarawak.

“Urusan pengambilan guru akan dilaksanakan berterusan dari semasa ke semasa tertakluk kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran,” ujar KPM yang menjawab pertanyaan Ahmad Johnie Zawawi (Igan) mengenai bilangan guru pengambilan 'one-off' dan CoS yang tidak melapor diri atau menolak tawaran ke Sarawak serta tindakan diambil KPM untuk mengisi kekosongan itu.

Menurut KPM lagi, guru kelahiran Sarawak diberikan keutamaan untuk ditempatkan di negeri kelahiran mereka berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen.

Ekoran tularnya isu ini, Sinar Bestari menjengah ke beberapa laman sosial untuk mendapatkan pandangan dan apa kata warga maya berkaitan perkara tersebut.

Antara yang sempat dipetik Sinar Bestari adalah

Edward Naga: Beri peluang kepada anak jati Sarawak. Selesai!

Polly Noris: Yang enggan lapor diri, biar mereka jaga kampung masing-masing. Utamakan anak-anak tempatan Sarawak bagi mengisi jawatan tersebut. Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sarawak pun banyak. Latih calon-calon guru asal Sarawak seramai yang mungkin kerana majoriti dalam kalangan mereka ramai yang cerdik pandai namun tidak di beri peluang.

Artikel Berkaitan:

Zulkiflee Sebli: Cadangan kepada KPM untuk berikan penalti kepada mereka. Jelas, belum dilantik sudah ingkar arahan. Tangguhkan lantikan mereka dua hingga tiga tahun!

Zarina Zainudin: Tak nak datang Sarawak jangan dipaksa. Nanti hati tidak ikhlas mengajar. Bagi anak Sarawak mengajar di Sarawak dan beri insentif sebagai motivasi.

Aida Makaila: Bukan sahaja guru, penjawat awam lain pun mengalami masalah yang sama. Harap pihak berkuasa meneliti semula guru-guru yang berkhidmat dan pastikan mereka tidak dtempatkan jauh dari tempat asal.

Brian Kennedy Ayoi: Sebagai seorang pendidik yang memang asal dari Sarawak, saya amat berterima kasih kepada rakan-rakan guru dari semenanjung yang sanggup berkhidmat di Sarawak walaupun jauh di pedalaman. Sudah pastinya, mereka ini adalah golongan yang tahan lasak dan sanggup menghadapi risiko tinggi untuk berkhidmat di kawasan yang mungkin tidak akan dijumpai di mana-mana di semenanjung. Cuma jika timbul masalah seperti ini, mohon kekosongan itu dipenuhi segera dengan orang tempatan sebab Sarawak sememangnya menghadapi masalah kekurangan guru terutamanya di kawasan pedalamannya.

NReen AdifaH: Buka permohonan khas untuk anak tempatan borneo yang minat untuk menjadi guru.

John Michael Andi: Itu satu berita baik. Bagi peluang keemasan ini kepada anak tempatan Sarawak yang berkelayakan dan yang sedang mencari pekerjaan.

Shah Rulz: Aduh, bersyukurlah dapat tawaran. Kami graduan pendidikan Sabah dan Sarawak yang sudah temu duga November 2022 belum lagi mendapat keputusan. Sudah masuk empat bulan menunggu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp