Hui Ying ketika menjawab pertanyaan mengenai isu kuarters guru di Dewan Rakyat pada Rabu.
Hui Ying ketika menjawab pertanyaan mengenai isu kuarters guru di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ini yang KPM sedang lakukan berkaitan isu 18,740 unit kuarters guru tidak diduduki

ROSHLAWATY MD RAIEH
15 Mar 2023 03:53pm
A
A
A

Sebanyak 18,740 unit kuarters guru yang disediakan kepada kumpulan pendidik tidak diduduki setakat Mac 2023.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha mencari penyelesaian bagi kuarters-kuarters yang tidak diduduki supaya tidak berlaku pembaziran.

“Secara keseluruhan, jumlah kuarters guru KPM sebanyak 47,947 unit, di mana 29,207 unit kuarters sedang diduduki manakala 18,740 unit lagi tidak diduduki.

“Bagi kuarters guru yang tidak diduduki, KPM telah melantik perunding hartanah bagi menjalankan kajian mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni milik KPM di seluruh negara.

“Skop kajian merangkumi cadangan penyelesaian bagi mengoptimumkan kuarters kosong di seluruh negara.

"Kajian ini dijangka selesai akhir April 2023,” ujarnya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sementara itu, Hui Ying menjelaskan, KPM memberi fokus kepada kerja-kerja membaik pulih dan penyelenggaraan kuarters guru yang didiami berdasarkan tahap kerosakan yang kritikal seperti kerosakan bumbung, pendawaian elektrik, perpaipan, kerosakan tandas, kumbahan dan kerosakan struktur bangunan.

“Kerosakan kuarters yang melibatkan struktur akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) manakala kerosakan yang tidak melibatkan struktur akan dilaksanakan oleh KPM.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa oleh JKR dan KPM bagi memastikan skop kerja dipatuhi mengikut spesifikasi ditetapkan,” jelasnya lagi.

Keseluruhan jawapan diberikan Hui Ying ini sebagai menjawab persoalan dikemukakan Young Syefura Othman (Bentong) yang bertanyakan jumlah kuarters guru yang ada dan perancangan untuk baik pulih serta selenggara kuarters guru yang uzur.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok