Fuziah
Fuziah

Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai RM50 akan diteruskan kepada pelajar Tingkatan 6 dan KV

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
29 Jul 2023 09:39pm

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merancang untuk meneruskan Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai kepada pelajar Tingkatan Enam dan Kolej Vokasional (KV) berikutan keberkesanan program itu yang mula dilaksanakan hujung tahun lalu.

Menurut Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, inisiatif itu diteruskan bertujuan menangani isu kos sara hidup bagi kumpulan tersebut setelah menerima cadangan menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol).

Kata Fuziah, pihaknya telah mengenal pasti kelompok pelajar Tingkatan Enam dan KV terutama yang menetap di asrama dan berdepan kesukaran dalam kos sara hidup terutamanya golongan B40.

Justeru, pihaknya berharap program sebegini bukan hanya dapat diteruskan malah mendapat peruntukan yang lebih banyak pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian sempena Program Outreach Sara Hidup di Bawah Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam Aliran Agama Kelantan di Kota Bharu, Kelantan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Fuziah memberitahu, sehingga kini, seramai 4,116 pelajar terbabit telah menerima Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai yang diagihkan sebanyak RM50 sebulan bagi tempoh tiga bulan .

Menurutnya, pemberian secara tanpa tunai itu dilihat boleh mengurangkan risiko penyalahgunaan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan.

Sebelum ini, KPDN telah melaksanakan Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai kepada golongan isi rumah B40 terutama mereka yang mendiami Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam sekitar Lembah Klang pada 2021.

Manakala, Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai untuk pelajar Tingkatan Enam dan KV telah dimulakan pada penghujung tahun lepas dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp