No Image Caption

Baik, buruk perang terhadap perdagangan global

03 Jan 2024 08:00am

Perdagangan antarabangsa merupakan aktiviti jual beli barangan atau perkhidmatan yang dijalankan oleh dua pihak yang berbeza negara.

Setiap perdagangan perlu mengikuti undang-undang yang ditetapkan sesebuah negara sebelum memulakan perniagaan kerana perbezaan peraturan dan undang-undang di setiap negara.

Perdagangan antarabangsa dapat memberikan impak positif terhadap ekonomi negara iaitu melalui cukai barangan yang dibawa masuk ke dalam sesebuah negara.

Para usahawan digalakkan menjalankan aktiviti perdagangan antarabangsa membabitkan dengan negara jiran di Malaysia. Melalui aktiviti eksport dan import ini, dapat mengeratkan hubungan diplomatik dengan negara lain.

Impak positif perdagangan terhadap pertumbuhan ekonomi dibuktikan dalam banyak kajian. Walau bagaimanapun, dasar perdagangan antarabangsa yang lebih terbuka menyebabkan berlakunya pendedahan risiko luaran.

Risiko yang boleh dihadapi dalam perdagangan antarabangsa adalah kemeruapan kadar syarat perdagangan (TOT) dan kadar pertukaran benar yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Hasil keputusan kajian menunjukkan hubungan negatif antara kejutan luaran, khususnya kepada kemeruapan TOT dan terhadap pertumbuhan ekonomi terutamanya kepada negara yang sedang membangun seperti Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Namun, terdapat pelbagai kesan positif perdagangan antarabangsa kepada pertumbuhan negara iaitu dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut Dorbush dan Fischer (1994), kadar pertumbuhan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada peningkatan dalam KDNK.

KDNK sesebuah negara dapat menyumbangkan kepada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan jumlah pendapatan.

Malaysia merupakan pengeksport nombor satu negara bagi sumber petroleum. Pada tahun 2017, Malaysia mengeksport produk itu bernilai RM935.39 bilion ke seluruh dunia.

Walaupun Malaysia dapat mencatatkan peningkatan dalam nilai eksport dan import setiap tahun, namun aktiviti perdagangan ini dapat memberikan impak positif serta negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Permasalahan yang berlaku iaitu lambakan terhadap pengeluaran barangan apabila terdapat industri yang mempunyai keupayaan pengeluaran, namun gagal memasarkan barangan di pasaran tempatan.

Ia berikutan persaingan oleh barangan import yang lebih menarik perhatian pembeli. Pengusaha syarikat akan mencari penyelesaian dengan cara mengeksport barang ke luar negara dengan harga yang lebih murah.

Namun, disebabkan isu peperangan termasuk konflik berdarah di Gaza, ia dapat diatasi secara langsung.

Lebihkan produk lokal

Peperangan menimbulkan isu boikot barangan import tertentu dan ia mengganggu sistem perdagangan antarabangsa di Malaysia.

Kesannya menyebabkan masyarakat tidak lagi bergantung terhadap barangan import dan mengutamakan barangan tempatan.

Permasalahan lain bagi perdagangan antarabangsa sebelum ini ialah kurang mendapat sambutan pelaburan langsung asing.

Para pelabur akan mengambil tahu dan memerhatikan perkembangan ekonomi sesebuah negara sebelum memulakan pelaburan mereka kepada negara lain. Para pelabur tidak mahu mengambil risiko yang tinggi kerana salah melabur di negara yang tidak mendatangkan keuntungan dan juga menyebabkan jumlah pelaburan langsung asing masih kurang di Malaysia.

Namun, impak peperangan dan konflik masa kini telah menyebabkan para pelabur di negara terlibat kurang berminat untuk melabur. Hal ini membuka peluang kepada negara lain terutama Malaysia untuk menarik pelabur dengan lebih giat.

Di samping itu, kesan lain perdagangan antarabangsa adalah menjejaskan imbangan pembayaran yang menyebabkan pembayaran menjadi negatif. Perkara ini berlaku kerana sekiranya eksport sesebuah negara kurang mendapatkan sambutan dari negara import, negara tersebut pula banyak mengimport barangan dari luar negara.

Sekiranya nilai eksport lebih kurang dari nilai import sebuah negara, maka imbangan pembayaran negara akan menjadi negatif dan menjejaskan kestabilan mata wang sebuah negara.

Namun sebaliknya, setelah terjadi akibat isu peperangan, imbangan pembayaran negara kembali menjadi positif kerana kurangnya mengeksport barangan dari negara luar iaitu barang import.

Pertumbuhan ekonomi juga merujuk kepada keadaan sesuatu ekonomi sama ada ianya mampu menambah sumber bahan mentah atau penggunaan sumber manusia yang digunakan supaya lebih produktiviti ataupun tidak produktiviti.

Sekiranya pertumbuhan ekonomi berkembang dengan pesat maka pengeluaran barang dan perkhidmatan dapat memenuhi permintaan di pasaran yang semakin membangun.

Oleh itu, perkembangan ini bergantung kepada bagaimana faktor pengeluaran seperti tenaga buruh, modal, sumber semula jadi dan teknologi digunakan bagi mengembangkan dan memajukan pertumbuhan ekonomi.

Seterusnya, kesan perdagangan antarabangsa memberikan dampak yang sangat terkesan kepada negara. Pertumbuhan perdagangan antarabangsa menunjukkan prestasi yang agak merosot tahun demi tahun.

Hal ini kerana, ekonomi semasa bemula dengan krisis kewangan global di Amerika Syarikat diikuti dengan kelembapan ekonomi Eropah menyebabkan kejatuhan sektor komoditi yang mempengaruhi pertumbuhan perdagangan antarabangsa.

Daripada perubahan geopolitik semasa di United Kingdom menyebabkan blok utama perdagangan tergugat dan terjejas dengan dasyat sekali. Kemerosotan dalam negara membangun seperti Malaysia memberi impak yang amat besar kepada pertumbuhan negara.

Akhir sekali, dasar kerajaan meningkatkan perdagangan antarabangsa dengan melaksanakan dasar perdagangan dan pelaburan terbuka dalam masa yang sama memfokuskan perniagaan dalam memulihkan ekonomi negara.

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan Universiti, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Jaharudin Padli serta pelajar tahun akhir SM Ekonomi Sumber Alam, Nur Natashya Mohamad Noor

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp