Isu tandas sekolah: Apa kata orang ramai mengenainya?
Ramai pihak tampil memberi pandangan masing-masing berkenaan isu tandas sekolah yang dikatakan tidak terjaga dan diselenggara dengan baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat teguran tersebut telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) memeriksa tandas di sekolah dan menyarankan murid dididik untuk mencuci kemudahan tersebut.
KPM yang diwakili Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan memperincikan ruang pelaksanaan untuk melibatkan murid dan pelajar dalam siri pendidikan kebersihan di sekolah masing-masing.
Sementara itu, Sinar Bestari tidak ketinggalan memberi peluang kepada orang ramai untuk berkongsi pendapat dan idea menarik berhubung isu berkenaan.
Menerusi akaun rasmi Facebook Sinar Bestari pada Isnin, warga maya telah memberikan beberapa cadangan membina tentang perkara tersebut.
Antara pendapat yang diberikan oleh mereka adalah;
Hajjah Norriha Sheikh Dramae: Ia wujud sejak lama dalam peraturan disiplin sekolah. Boleh dijadikan satu bentuk hukuman khidmat sekolah kepada murid yang melanggar peraturan sekolah. Murid-murid boleh diberi arahan mencuci tandas syaratnya bersama pekerja kebersihan yang membimbing cara kerja.
Saya pernah bertindak atas arahan pengetua ketika saya sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid terhadap murid-murid perempuan yang bergaduh dan ponteng kelas ketika itu dengan merujuk buku peraturan dan disiplin murid sekolah. Sekadar berkongsi!
Azie Abd Hamid: Penting. Didikan awal dari rumah (ibu bapa).
Noor Afhiza: Sokong sangat dan ia wajar dimulakan dari sekolah.
Daniziq Hazz: Bagus. Biar ada sifat tanggungjawab menjaga kebersihan tandas selepas menggunakannya.
Hamsiah Yusoff: Saya bangga sebab satu amalan mulia.
Nornazam Mohd Noor: Contohi negara Jepun sukatan pelajarannya bagaimana. Anak-anak diajar untuk membersihkan sekolah sendiri sebelum kelas bermula. Tidak pakai tukang sapu pun.
Roselina Abdul Aziz: Mulakan dari rumah.
Hajjah Fatimah: Kebersihan adalah melalui amalan. Itu juga bentuk pendidikan. Negara bersih rakyat bersih.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan turut berkongsi beberapa cadangan mengenai isu tandas sekolah.
Katanya, aktiviti mencuci tandas oleh murid-murid boleh dilakukan secara giliran bagi setiap kelas.
Selain tandas, aktiviti membersihkan surau dan laluan sekitar bilik darjah masing-masing juga boleh dilakukan secara giliran bagi setiap pelajar.
“Dulu pun ada kebiasaan pelajar-pelajar mengutip sampah sarap di padang sekolah dan lain-lain.
“Mungkin juga buat permulaan pelajar-pelajar yang liar disiplin, buli dan lain-lain (boleh) diarah menjalankan kerja-kerja sosial seperti membersihkan tandas di sekolah masing-masing,” ujarnya seperti dipetik portal tempatan.
Dalam pada itu, Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan, PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, penerapan menjaga kebersihan menggunakan tandas sepatutnya dimulakan daripada belajar membersihkannya terlebih dahulu, selain tabiat ini perlu bermula dari rumah.
Tambah Noor Azimah, jadual tugasan mingguan juga perlu diwujudkan untuk membersihkan tandas dan perlu pembabitan semua murid tanpa ada yang dikecualikan.
Mengulas mengenai baik pulih tandas di sekolah pula, beliau mencadangkan perlunya ada bajet mengenai perkara itu daripada KPM.
“Sehingga kini, tiada bajet berkenaan membaik pulih tandas di sekolah sebaliknya hanya menggunakan yuran yang dikutip daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” jelasnya.