
Jangkaan 1.9 juta pengunjung akan hadir PBAKL 2025
Setiap tahun, Pesta Buku Antarbangsa Kuala Lumpur (PBAKL) membuka tirai sebagai medan ilmu terbesar negara yang menghimpunkan pencinta buku dari segenap lapisan masyarakat.
Bertempat di tengah Kuala Lumpur, program tersebut bukan sahaja menjadi syurga buat para pembaca dan peminat, malah dijadikan platform pertempuran intelektual antara pengkarya dari dalam dan luar negara.
Pengerusi Pengelola PBAKL 2025, Mohd Khair Ngadiron berkata, jangkaan seramai 1.9 juta pengunjung akan hadir ke pesta buku berkenaan berbanding 1.8 juta tahun lalu.
"Ia melibatkan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan juga universiti.
"Limpahan khidmat kepada pempamer itu sangat hebat. Jadi, tahun ini tempahan reruai sangat tinggi.
"Kita ada sebanyak 1,172 reruai yang mana kita terpaksa membina satu 'pavilion' khas di tingkat empat," katanya selepas Majlis Perasmian PBAKL 2025 pada Jumaat.
PBAKL 2025 akan berlangsung selama 10 hari dan 10 malam bermula 23 Mei sehingga 1 Jun 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Mohd Khair turut mengharapkan pesta buku berkenaan bukan sahaja platform membeli bahan bacaan, malah mampu memandaikan masyarakat.
"Saya mengharapkan bahawa pesta buku ini bukan sekadar tempat jual beli buku tapi lebih kepada usaha kita untuk bangsa yang mana kita tahu dalam seisi rumah daripada anak, ibu, ayah, atuk, nenek semua boleh mendapatkan buku yang sesuai untuk mereka di PBAKL," katanya.