Jawab 10 soalan matematik tanpa guna kalkulator! Kelebihan kanak-kanak 5 tahun ternyata mengejutkan ramai
Kanak-kanak berusia lima tahun menggemparkan negara apabila berjaya menjawab 10 soalan matematik dengan tepat tanpa menggunakan kalkulator.
Uwais Mohammad Zulqarnain yang hanya mengambil masa kurang 60 saat turut berkebolehan membaca huruf Sepanyol, Rusia dan jawi di usia yang masih muda.
Bakat dan potensi luar biasa Uwais sudah tentu menggembirakan kedua ibu bapanya, Mohammad Zulqarnain Alan Zamirza, 33, dan Surya Syafiqah A Rahim, 32 yang pasti berbangga memiliki anak segenius Uwais.
Menurut Surya Syafiqah, Uwais merupakan anak lelaki sulung daripada dua adik beradik.
"Dia mampu menguasai matematik secara berperingkat apabila boleh membuat pengiraan tambah, tolak dan darab serta pengiraan ratusan hingga trilion.
"Dalam masa sama, Uwais juga mampu menguasai pengiraan kuasa dan punca kuasa,” katanya yang merupakan pengurus perolehan sebuah syarikat swasta.
Mengulas lanjut, Surya Syafiqah berkata, dia dan suami (seorang jurutera) saling menyokong dan sentiasa berusaha memupuk minat Uwais dalam bidang akademik.
Malah, mereka berdua sering memberi pendedahan kepada anak lelakinya berkaitan matematik.
"Selain matematik, dia turut menunjukkan minat untuk belajar pelbagai bahasa seperti Sepanyol dan Russia.
"Dia belajar sendiri (bahasa) dengan mengakses sumber pembelajaran dalam talian kerana katanya, gemar belajar sesuatu yang baharu,” ujar Surya Syafiqah.
Sementara itu, ibunya memaklumkan, bakat menguasai matematik tersebut mungkin juga daripada amalan pemakanan seharian.
"Uwais gemar mengambil sayuran seperti brokoli, timun, lobak merah, tomato dan buah-buahan.
"Mungkin daripada sini, ia mempengaruhi kekuatan mindanya sekali gus memberi meningkatkan penguasaan ilmu matematik dan bahasa," tuturnya lagi.