Jelajah TVPSS beri manfaat tingkatkan kualiti TV PSS sekolah

AZLEENDA SAHALUDIN
20 Jul 2023 03:46pm
A
A
A

Baru-baru ini, sebanyak 20 buah sekolah rendah dan menengah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Selangor, telah menyertai Program Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) yang diadakan di Dewan Besar Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Kajang, Selangor.

Program anjuran Sinar Bestari dengan kerjasama Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor itu melibatkan 10 buah sekolah rendah antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Semenyih, SK Saujana Impian 2, SK Taman Cuepacs, SK Taman Tasik, SK Leftenan Adnan, SK Kantan Permai, SK Taman Muda, SK Jalan 3, SK Bukit Raya dan SK Bandar Tasik Kesuma.

Turut serta, 10 buah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching, SMK Jalan Empat, SMK Cheras Jaya, SMK Bandar Damai Perdana, SMK Dato Ahmad Razali, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, SMK Tinggi Kajang, Sekolah Menengah Agama (SMA) Perseketuan Kajang, SMK Bandar Baru Sungai Long dan SMK Jalan Bukit.

Khairul Nizam
Khairul Nizam

Menurut Penolong Pegawai Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan, PPD Hulu Langat, Khairul Nizam Othman, program Jelajah TV PSS ini dilihat permulaan untuk murid-murid di sekolah sekitar daerah tersebut mendalami dan mempelajari tentang dunia kewartawan dan penyuntingan video.

Katanya, ia bukan sahaja memberi pendedahan tentang laluan kerjaya murid-murid tetapi turut membantu mempersiapkan mereka sebelum melangkah ke alam pendidikan yang lebih tinggi.

“Saya mewakili pihak PPD Hulu Langat amat berterima kasih kepada JPN Selangor dengan usaha sama Sinar Bestari kerana sudi mencurahkan ilmu di daerah kami ini.

“Alhamdulillah, saya lihat murid-murid begitu teruja untuk mempelajari perkara baharu yang tidak didedahkan di dalam bilik darjah tetapi diberi oleh pakar-pakar yang sememangnya bekerja dalam industri kewartawanan dan penyuntingan video ini.

Artikel Berkaitan:

“Ini juga sebagai permulaan untuk murid-murid mengetahui dengan lebih mendalam perkara-perkara asas dalam bidang berkenaan dan boleh mempraktikkannya untuk pencapaian sekolah kelak,” ujarnya ketika ditemui Sinar Bestari 18 Julai lalu.

Tambah Khairul Nizam, sistem pendidikan hari ini juga dilihat lebih membangun dengan adanya kerjasama bersama pihak industri yang turut turun padang dalam membantu menyumbang ilmu kepada murid-murid sekolah yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan pada masa akan datang.

Mohd Nazir
Mohd Nazir



Dalam pada itu, guru pembimbing SK Bukit Raya, Selangor, Mohd Nazir Majid turut mengucapkan terima kasih kepada Sinar Bestari di atas kesudian berkongsi ilmu dan pengalaman kepada murid dan guru.

Ujar Mohd Nazir, program berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar tetapi turut membantu guru-guru selaku guru pembimbing TV PSS sekolah dalam menambah baik penghasilan video yang akan dihasilkan.

“Alhamdulillah, ini adalah pengalaman bermakna buat kami juga sebagai guru pembimbing untuk menjayakan TV PSS di sekolah.

“Dengan ilmu baharu yang diterima hari ini, ia dapat membantu kami menambah baik kualiti dan mutu video yang akan disiarkan di YouTube sekolah kami,” katanya.

Surnida Ismail
Surnida Ismail



Bagi guru SK Taman Muda, Selangor, Surnida Ismail juga memaklumkan, pendedahan yang diterima di dalam program Jelajah TV PSS ini sedikit sebanyak membantu meringankan tugas guru dalam menghasilkan video-video sekolah.

Jelasnya, jika sebelum ini kebanyakan video dibuat dan disunting oleh guru namun dengan adanya pendedahan dengan melibatkan murid-murid, mereka juga mampu menghasilkan video yang jauh lebih baik.

“Program hari ini sangat bermanfaat kepada guru dan murid dan jika dilihat mereka ini lebih kreatif dalam menghasilkan video-video menarik.

“Ini membantu sekolah dalam membentuk kemenjadian murid mengikut saranan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM),” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok