MSU Heritage Walk Series: Kajang Heritage Walk turut menyokong matlamat SDG yang digariskan PBB.
MSU Heritage Walk Series: Kajang Heritage Walk turut menyokong matlamat SDG yang digariskan PBB.

MSU Heritage Walk Series-Kajang Heritage Walk

Tingkatkan kesedaran mengenai budaya, sejarah sambil beriadah

15 Jan 2024 11:59am

Dalam usaha memperkukuhkan kerjasama pintar antara institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa tempatan, Management and Science University (MSU) akan melancarkan program MSU Heritage Walk Series-Kajang Heritage Walk.

Penganjuran itu dibuat menerusi School of Hospitality and Creative Arts (SHCA) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) serta Tourism Selangor.

Tujuan program itu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya para pelajar mengenai budaya, selain mempromosikan keunikan enam mercu tanda utama di Kajang.

Antara lokasi utama terlibat dalam acara itu ialah Stadium Kajang, Shen Sze Yar Temple, Lorong Sejarah, Kajang Heritage Centre, Kedai Runcit Kwong Sah Who dan Pejabat Pos Kajang.

MSU dalam satu kenyataan memaklumkan, perasmian acara itu dijangka disempurnakan oleh Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid; Timbalan Yang Dipertua MPKJ, Mohd Fareez Mohd Ariss @ Mohd Hatta dan Dekan SHCA, Azizul Jamaludin.

Para peserta MSU Heritage Walk Series-Kajang Heritage Walk bergambar selepas program itu tamat.
Para peserta MSU Heritage Walk Series-Kajang Heritage Walk bergambar selepas program itu tamat.

Selain itu, majlis pelancaran dijangka menyaksikan penyerahan replika sumbangan cek bernilai RM10,000 kepada Yayasan MSU kepada Gaza Humanity Aids.

“MSU Heritage Walk Series sebelum ini telah melibatkan penganjuran Kuala Lumpur Heritage Walk pada tahun 2018 diikuti Royal Klang Town Heritage Walk (2019), Shah Alam Heritage Walk: Virtual Edition 2021, serta Putrajaya Iconic Tour pada tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

“Bagi edisi kelima MSU Heritage Walk Series: Kajang Heritage Walk ini akan disertai kira-kira 1,000 peserta yang melakukan aktiviti jalan kaki, selain memperkukuhkan pengetahuan mereka mengenai tempat-tempat bersejarah di Kajang,” menurut MSU.

Program yang berbentuk bimbingan (mentoring) itu juga bertujuan memperkukuhkan kemahiran pelajar dari segi pembangunan diri dan kepentingan sejarah dan warisan negara secara umum khususnya di bandar Kajang kepada generasi muda.

Selain itu, program MSU Heritage Walk Series: Kajang Heritage Walk turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp