Pelajar PJJ PACE UUM Kampus Kuala Lumpur bergambar kenangan bersama penduduk Kampung Hulu Kalong, Hulu Yam Bharu, Batang Kali selepas program Rewang Rangers, Disember lalu.
Pelajar PJJ PACE UUM Kampus Kuala Lumpur bergambar kenangan bersama penduduk Kampung Hulu Kalong, Hulu Yam Bharu, Batang Kali selepas program Rewang Rangers, Disember lalu.

Rewang Rangers di Kampung Hulu Kalong

NURBAYA ABDUL REZAK
16 Jan 2024 07:00am
A
A
A

Seramai 45 pelajar Program Jarak Jauh (PJJ) dari Pusat Pengajian Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM), Kampus Kuala Lumpur mengadakan Rewang Rangers - Kenduri dan Sukan Rakyat, Mendekati Komuniti Luar Bandar di Kampung Hulu Kalong, Hulu Yam Bharu, Batang Kali, di sini.

Berkonsepkan 'kenduri dan sukan rakyat', program khidmat masyarakat pada bulan lalu itu turut disertai seramai 80 ahli Kariah Surau Al Qariah dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Hulu Kalong dan masyarakat setempat.

Pengarah program, Mohd Rahmat Mohd Shariff berkata, program khidmat masyarakat yang julung kali diadakan itu memfokuskan dua aktiviti utama iaitu kenduri dan sukan rakyat bersama penduduk setempat.

Menurutnya, ia bertujuan membantu memberi pendedahan kepada pelajar untuk menimba pengalaman dan makluman tentang bagaimana komuniti luar bandar mengadakan aktiviti kenduri dan permainan sukan rakyat di Kampung Hulu Kalong, Hulu Yam Bahru, Batang Kali ini.

"Program gotong-royong ini merangkumi aktiviti (kenduri) dan sukan rakyat bertujuan memupuk semangat kerjasama sama antara satu sama lain tanpa mengira waktu dan status kehidupan.

"Selain itu, acara sukan rakyat juga bagi mengembalikan nostalgia kegemilangan permainan tradisional yang pernah dimainkan oleh masyarakat lalu yang kian hilang ditelan zaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara aktiviti permainan klasik yang dianjurkan sewaktu program Rewang Rangers berlangsung.
Antara aktiviti permainan klasik yang dianjurkan sewaktu program Rewang Rangers berlangsung.

Sementara itu, Rahmat berkata, program tersebut juga adalah projek tahun ketiga mereka bagi memenuhi keperluan kursus kod VKMB2041 iaitu Pembangunan Masyarakat IV.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga bagi memberi peluang kepada semua pelajar PJJ yang sudah mempunyai pekerjaan masing-masing untuk bertemu dan bekerjasama melaksanakan sesuatu program, sekali gus meningkatkan jaringan komuniti dan nama baik PACE UUM," katanya.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Penghulu Mukim Hulu Yam, Muhammad Nabil Salehat.

Turut hadir pada program tersebut ialah Ahli Majlis MPHS, Wong Sheau Mei @ Ong Sheau Mei; penasihat program, Zulhairi Zakariah dan pengarah program, Mohd Rahmat Shariff.

Zulhairi ketika ditemui berkata, penganjuran program itu antara usaha PACE UUM dalam mendekati dan menyumbang kepada komuniti setempat.

Ia selaras hasrat menjadikan universiti untuk masyarakat yang bukan sahaja memberi tumpuan dalam aspek akademik semata-mata malah memberikan sumbangan kepada komuniti melalui program khidmat masyarakat.

"Walaupun kampus induk UUM terletak di Sintok, Kedah, namun aktiviti kemasyarakatan melibatkan pelajar PACE UUM tetap dilaksanakan melalui kampus-kampus seluruh negara," katanya.

Pada program tersebut, para pelajar PJJ UUM yang terlibat turut menyumbangkan sumbangan wang tunai berjumlah RM200 kepada 10 keluarga asnaf, manakala sumbangan RM13,000 disumbangkan kepada Surau Al-Qariah hasil tajaan beberapa pihak swasta dan orang persendirian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok