Foto: Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya.
Foto: Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya.

Jenis dan fungsi mahkamah

13 Jun 2024 12:14pm

Mahkamah adalah tempat awam dan rasmi bagi seseorang mendapat penyelesaian secara adil dalam suatu perselisihan baik dalam hal sivil, buruh, administratif dan kriminal berdasarkan undang-undang sedia ada (lalu turut diberi nama pengadilan dalam konteks pentakrifan yang abstrak), menurut Wikipedia - Ensiklopedia Bebas.

Kekuasaan melaksanakan pengadilan ini diberikan melalui suatu bidang kuasa (jurisdiksi atau yurisdiksi) yang tertakluk dalam kawasan tertentu.

Terdapat lima mahkamah dalam sistem kehakiman di Malaysia, rujukan Perpustakaan Laman Hikmah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Mengikut hierarki, ia bermula Mahkamah Majistret; Mahkamah Seksyen; Mahkamah Tinggi Malaya serta Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak; Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

1) Mahkamah Majistret

(a) Mahkamah Majistret Sivil (Kelas Pertama)

Majistret Kelas Pertama boleh mendengar kes sivil di mana jumlah tuntutannya tidak melebihi RM100,000.

(b) Mahkamah Majistret Sivil (Kelas Kedua)

Majistret Kelas Kedua boleh mendengar kes sivil di mana tuntutan Plaintif termasuk faedah tidak melebihi RM10,000.

Jika tuntutan tersebut tidak melebihi RM5,000, plaintif boleh memfailkan tindakan di Bahagian Tuntutan Kecil Mahkamah Majistret. Namun, bagi kes tuntutan kecil, pihak-pihak tidak boleh diwakili peguam. Kes adalah diwakili oleh pihak-pihak dalam pertikaian itu sendiri.

(c) Mahkamah Majistret Jenayah (Kelas Pertama)

Boleh mendengar kes jenayah di mana hukuman yang diperuntukan oleh undang-undang ialah denda sahaja (termasuk kesalahan trafik).

Boleh mendengar kes jenayah di mana tempoh pemenjaraan yang ditetapkan oleh undang-undang adalah tidak melebihi 10 tahun.

Majistret Kelas Pertama tidak boleh menjatuhkan hukuman penjara melebihi lima tahun penjara dan tidak boleh menjatuhkan hukuman denda melebihi RM10,000.

Ia juga tidak boleh menjatuhkan hukuman sebat melebihi 12 sebatan.

(d) Mahkamah Majistret Jenayah (Kelas Kedua)

Boleh mendengar kes-kes di mana hukuman yang diperuntukan oleh undang-undang ialah hukuman denda sahaja.

Juga, boleh mendengar kes-kes di mana tempoh pemenjaraan yang ditetapkan oleh undang-undang tidak melebihi 12 bulan.

Majistret Kelas Kedua boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan penjara sahaja.

Majistret Kelas Kedua boleh menjatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 sahaja.

Mana-mana gabungan hukuman di atas.

No Image Caption

2) Mahkamah Seksyen

(a) Mahkamah Sesyen (Sivil)

Mahkamah Sesyen boleh mendengar semua kes sivil di mana jumlah tuntutan melebihi RM100,000 tetapi tidak melebihi RM1,000,000.

Ia termasuk kes-kes sivil yang melibatkan kemalangan jalan raya, pertikaian antara tuan tanah dan penyewa dan juga tindakan distress.

(b) Mahkamah Sesyen (Jenayah)

Mahkamah Sesyen boleh mendengar semua kes jenayah kecuali kes-kes yang jika disabitkan dengan kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman mati.

No Image Caption

3) Mahkamah Tinggi Malaya serta Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak

Di bawah Seksyen 2 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi adalah merujuk kepada Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, bidang kuasa Mahkamah Tinggi Malaya adalah setara (coordinate) dengan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Secara umumnya Mahkamah Tinggi Malaya serta Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak mempunyai peranan dan fungsi yang sama iaitu:

Mendengar atau membicarakan kes-kes jenayah yang melibatkan hukuman mati.

Mendengar dan memutuskan kes-kes sivil yang melebihi bidang kuasa Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret dimana jumlah tuntutan yang terlibat melebihi RM1,000,000.

Mahkamah Tinggi juga mempunyai kuasa eksklusif bagi mendengar pertikaian mengenai kes-kes:

a) Perceraian dan isu-isu matrimonial

b) Admiralti

c) Kebankrapan

d) Pertikaian-pertikaian sivil syarikat

e)Perlantikan dan seliaan penjaga kanak-kanak dan harta

f) Perlantikan dan seliaan orang kelainan upaya dan harta

g) Surat kuasa mentadbir dan Probet

h) Mendengar petisyen pilihan raya

Mendengar dan menentukan rayuan bagi kes-kes jenayah dan sivil daripada Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Menyemak keputusan dari Mahkamah Rendah, Tribunal dan badan-badan lain yang mempunyai fungsi quasijudicial.

Mengawal selia perjalanan dan pentadbiran Unit Sijil Amalan.

No Image Caption

4) Mahkamah Rayuan

Penubuhan Mahkamah Rayuan mengembalikan proses rayuan yang melalui dua peringkat dalam sistem kehakiman Malaysia.

Mahkamah Rayuan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan dan juga merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Jumlah hakim Mahkamah Rayuan yang diperuntukkan ialah seramai 32 orang setelah beberapa pindaan dibuat atas perintah Yang di-Pertuan Agong.

Artikel 121 Klausa (IB) memberi kuasa kepada Mahkamah Rayuan untuk menentukan rayuan daripada Mahkamah Tinggi dan mana-mana bidang kuasa lain yang dibenarkan di bawah undang-undang persekutuan.

Keputusan Mahkamah Rayuan boleh dirayu ke Mahkamah Persekutuan.

Perkara-perkara lain berkenaan komposisi dan bidang kuasa Mahkamah Rayuan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam Akta Kehakiman Mahkamah 1964.

No Image Caption

5) Mahkamah Persekutuan

Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan merupakan bahagian yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan pengurusan kes-kes yang difailkan di Mahkamah Persekutuan.

Pejabat ini menyediakan khidmat sokongan perundangan untuk membolehkan Mahkamah Persekutuan mendengar dan menyelesaikan kes dengan lancar dan licin.

Demi kepentingan undang-undang dan juga orang awam, bahagian ini bertanggungjawab memastikan kendalian dan pelupusan kes di Mahkamah Persekutuan dilaksanakan dalam jangka masa yang ditetapkan denganmengambil kira kerjasama semua pihak terlibat.

Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Timbalan Kanan Pendaftar dengan dibantu beberapa orang Timbalan Pendaftar dan Penolong Kanan Pendaftar.

Bahagian ini merangkumi Unit Pentadbiran, Unit Rayuan Sivil, Unit Rayuan Jenayah Unit Permohonan Sivil, Unit Sabah & Sarawak dan Unit Pengurusan Kes.

Fungsi Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan antara lain adalah seperti berikut:

(a) Melaksanakan tugas-tugas pentadbiran am bagi memastikan sistem penyampaian yang baik, adil dan saksama di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan.

(b) Memastikan pendaftaran dan pemprosesan dokumen-dokumen bagi kes-kes yang difailkan di Mahkamah Persekutuan dilaksanakan dengan lancar dan cepat.

(c) Menjalankan pengurusan kes bagi memastikan kes dapat ditetapkan untuk perbicaraan di hadapan Panel Hakim Mahkamah Persekutuan dalam tempoh ditetapkan.

(d) Mengendalikan tugasan di Mahkamah terbuka bagi membantu Panel Hakim Mahkamah Persekutuan untuk memastikan persidangan di Mahkamah Persekutuan berjalan dengan lancar.

(e) Menyemak dan meluluskan deraf perintah dan perintah bermeterai yang difailkan di Mahkamah Persekutuan dengan memastikan ia selaras dengan perintah yang diberikan oleh Panel Hakim Mahkamah Persekutuan. Pejabat Pendaftaran juga bertanggungjawab menyelesaikan apa-apa pertikaian berkaitan dengan perintah yang difailkan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp