Jom Masuk U 2023, peluang pelajar dapatkan maklumat daripada wakil universiti
Dalam usaha meluaskan akses dan ekuiti pendidikan tinggi, Program Jom Masuk U akan dianjurkan di beberapa lokasi terpilih seluruh negara oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Usaha berkenaan selari dengan aspirasi melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi (2021-2025) di bawah lonjakan 10: Transformasi Penyampaian Pendidikan Tinggi.
Program berkenaan juga sesuai untuk semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau Setaraf yang membolehkan mereka mendapat maklumat secara terus daripada wakil universiti seluruh negara.
Dengan ini, pelajar boleh mendapatkan idea dan haja tuju pengajian serta membuat keputusan tepat berkenaan pengajian yang bersesuaian dengan keputusan dan minat.
Bukan itu sahaja, pelajar juga boleh membuat perbandingan kelebihan setiap institut pendidikan tinggi (IPT) selain berpeluang mendapatkan maklumat tentang pembiayaan pendidikan dan syarat kelayakan.
Program Jom Masuk U bagi tahun ini akan disertai 20 universiti awam (UA), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) terpilih di bawah KPT seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Sementara itu, bagi edisi kali ini program tersebut akan dilaksanakan di enam zon seluruh negara yang akan membuka tirainya pada 20 hingga 21 Mei depan di Zon Selatan.
Ia akan diadakan di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, dengan kerjasama rakan strategik kementerian iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pada tarikh yang sama turut diadakan di Zon Sarawak iaitu di Time Square Megamall, Bintulu manakala bagi Zon Sabah pula akan berlangsung pada 27 hingga 28 Mei ini di Pusat Ke-2 Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Selain itu pada masa sama, Jom Masuk U turut diadakan di Zon Kedah dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang bakal diadakan di Dewan Perdana UiTM Kampus Sungai Petani, Merbuk Kedah.
Program tersebut akan diadakan pada 3 hingga 4 Jun depan di Zon Timur dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Dewan Tunku Mizan, UMT.
Seterusnya, kemuncak program akan diadakan di Zon Tengah dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) di Dewan Tunku Canselor, UM pada 4 hingga 5 Jun depan.
Dalam pada itu, Majlis Penutup Program Jom Masuk U 2023 di Zon Tengah pada 4 Jun akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Program Jom Masuk U 2023 yang bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang terbuka kepada orang ramai dan kemasukannya adalah percuma.
Bagi pelajar yang ingin turut serta digalakkan membawa keputusan peperiksaan terkini selain layari upu.mohe.gov.my untuk maklumat lanjut.