Maimunah (depan, empat dari kanan) dan Muhammad Nasir (depan, lima dari kanan) bersama barisan rakan strategik K-SEMANIS'23 pada Pelancaran Laman Sesawang K-SEMANIS'23 di Dewan Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Maimunah (depan, empat dari kanan) dan Muhammad Nasir (depan, lima dari kanan) bersama barisan rakan strategik K-SEMANIS'23 pada Pelancaran Laman Sesawang K-SEMANIS'23 di Dewan Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

K-SEMANIS’23 platform sebar luas maklumat STEM

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
15 Jul 2023 10:56pm

Laman sesawang Karnival-Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi STEM 2023 (K-SEMANIS’23) yang dilancarkan 5 Julai lalu merupakan platform penting dalam menyebar luas pelbagai maklumat berkaitan penganjuran seminar tersebut.

Menurut Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang, Selangor, Maimunah Mustaffa, portal K-SEMANIS’23 juga menyediakan panduan dan penyertaan acara yang boleh disertai para peserta seperti pembentangan lisan, bicara amalan terbaik, pertandingan inovasi, puisi dalam lagu, deklamasi sajak, dekorasi makanan, ceramah hala tuju kerjaya dan pendigitalan.

Kata Maimunah, K-SEMANIS’23 secara fizikal akan diadakan di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, Selangor, pada 9 hingga 10 Ogos depan dan ia merupakan program perkongsian dan percambahan ilmu khususnya dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

“K-SEMANIS’23 melibatkan warga pendidik termasuklah guru dan pelajar yang diberi peluang berkongsi hasil penyelidikan dan mencetuskan inovasi.

“Bersandarkan tema ‘Menjana Aspirasi Naratif Inovasi STEM’, ia memberi gambaran jelas PPD Klang berada pada laluan yang betul dalam usaha meningkatkan daya saing dalam bidang pembangunan teknologi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Laman Sesawang K-SEMANIS’23 di Dewan Karangkraf, Shah Alam, Selangor, pada 5 Julai lalu anjuran bersama PPD Klang, UiTM Kampus Puncak Alam dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Kerajaan Negeri Selangor, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) dan Duta Guru Yayasan Petronas.

Turut hadir, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, PPD Klang, Sa'adah Kasiran; Dekan Fakulti Pendidikan UiTM, Profesor Madya Dr Sharipah Ruzaina Syed Aris dan Kurator mewakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PADAT, Abdullah Anas Abu Bakar.

Pada majlis tersebut, beberapa rakan strategik yang bekerjasama dalam menjayakan K-SEMANIS’23 turut hadir seperti Royal Alloy Sdn Bhd, Syarikat Nestle, Bank Simpanan Nasional, Rangkaian 99 Speedmart, Percetakan Nusamas, Sugar Bomb dan DataPrep Holdings Bhd.

Artikel Berkaitan:

Manakala Sinar Harian, Sinar Bestari dan TVRZ dari Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Raja Zarina, Pelabuhan Klang, Selangor adalah rakan media rasmi.

Sementara itu, Maimunah berkata, K-SEMANIS’23 dapat membudayakan inisiatif penyelidikan dan inovasi STEM dalam kalangan warga pendidik dan bakal pendidik.

Ia juga mampu menyediakan asas yang realistik dalam penulisan penyelidikan, penulisan ilmiah dan reka bentuk inovasi secara berstruktur serta meningkatkan kompetensi dan membentuk budaya pembelajaran yang berkualiti dalam kalangan warga pendidik.

Dalam pada itu, Muhammad Nasir memuji laman sesawang K-SEMANIS’23 yang diyakini akan menjadi wahana perkongsian maklumat tentang pelbagai acara yang dipertandingkan, peraturan pertandingan dan kaedah penjurian.

Katanya, portal tersebut berupaya mencetuskan budaya berinovasi dalam kalangan masyarakat dan ia harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp