HomeBuletinKeluarga terharu terima diploma arwah anak

Artikel Berkaitan

Keluarga terharu terima diploma arwah anak

BANGI – Majlis Istiadat Konvokesyen ke-19 Kolej UNITI Port Dickson 2022 yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan suasana sedih dan sayu seketika apabila penganugerahan Diploma Pengajian Islam dibuat kepada graduan, Allahyarham Muz Mohd Nasir, 22, yang meninggal dunia pada 12 Mei lalu.

Guru pengajian al-Quran tersebut terlibat dalam kemalangan motosikal di Nilai, Negeri Sembilan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ibu saudara arwah, Nursimah Ibrahim, 61, hadir menerima diploma tersebut.

Nurshimah yang hadir bersama bersama bapa Allahyarham Muz, Mohd Nasir Ibrahim, 58, dan keluarga ternyata terharu apabila mereka diraikan pengurusan Kolej UNITI Port Dickson pada hari bersejarah itu.

“Allahyarham Muz memang saya bela sejak kecil malah mengganggapnya sebagai anak kandung. Dia merupakan anak yang baik serta disenangi semua pihak.

“Saya berharap amal dan budi arwah semasa bertugas sebagai guru pengajian al-Quran memberi manfaat berpanjangan kepada semua,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu.

Nursimah hadir menerima diploma bagi pihak Allahyarham Muz.

Seramai 853 graduan telah menerima penganugerahan pada peringkat diploma membabitkan pelbagai bidang pengajian pada istiadat konvoksyen ke-19 yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Daripada jumlah itu, seramai 449 graduan adalah dari Fakulti Pengurusan Industri Halal, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (342) serta Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan (62).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, kolej tersebut akan meneruskan komitmen untuk menawarkan pengajian terbaik sekali gus menjadi jenama pilihan utama dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

“Walaupun pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu telah memberi kesan yang mendalam, namun Kolej UNITI Port Dickson sudah memberi sepenuh komitmen untuk pulih dan bangkit semula.

“Sebagai IPT yang berpengalaman lebih 25 tahun, Kolej UNITI Port Dickson mempunyai peranan besar dalam membantu kerajaan meningkatkan akses lepasan sekolah ke pendidikan tinggi dan pada masa sama, bersungguh-sungguh melahirkan bakat serta tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk pasaran kerjaya,” ujarnya.

Pada istiadat konvokesyen ini juga, graduan Diploma Pengajian Industri Halal, Nurul Aisyah Fairos, 21, telah dipilih sebagai penerima Anugerah Presiden di atas kecemerlangannya dalam akademik selain aktif menyertai aktiviti kokurikulum dan kepimpinan.

Empat graduan cemerlang lain turut diraikan sebagai penerima Anugerah Khas sempena istiadat konvokesyen kali ini.

Graduan Diploma Pengurusan Industri Halal, Muhammad Aiman Farhan Zaidi yang terpaksa membahagikan masa ketika menjalani latihan industri untuk menjaga Allahyarham bapanya, Zaidi Wahab yang menghidap kanser dan strok dipilih sebagai penerima Anugerah Al-Ghazali.

Graduan Diploma Psikologi Kaunseling yang juga graduan Orang Kurang Upaya (Penglihatan), Muhammad Ramadhan Mubaraq Norzaihan dipilih sebagai penerima Anugerah Al-Farabi, Auni Qistina Mohd Azlin pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Al-Shirazi manakala Anugerah Al-Khawarizmi pula diberikan kepada graduan autisme, Ahmad Mu’az Hazimi Muzahar.

Artikel Terkini