Anas Baihaqi sebelum ini pernah menyuarakan rasa berat hati untuk kembali ke asrama MRSM Pekan kerana tidak sanggup berjauhan daripada keluarga tercinta.
Anas Baihaqi sebelum ini pernah menyuarakan rasa berat hati untuk kembali ke asrama MRSM Pekan kerana tidak sanggup berjauhan daripada keluarga tercinta.

Kerana enggan pulang ke asrama, pelajar MRSM Pekan hilang dari rumah!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
05 May 2025 10:09am

Seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pekan, Pahang mencetuskan kebimbangan ramai selepas dilaporkan hilang pada petang Ahad dipercayai kerana enggan kembali ke asrama.

Pelajar berkenaan, Anas Baihaqi Miqdad Johari, 13 tahun, disedari hilang sekitar jam 4 petang apabila ibunya menyedari remaja itu tidak berada di bilik tidurnya di rumah mereka.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu, ibu mangsa yang berusia 41 tahun memaklumkan bahawa anaknya masih berada di rumah sekitar jam 3.30 petang.

"Namun, tidak lama selepas itu, pengadu mendapati Anas Baihaqi tiada di dalam rumah dan cuba mencarinya di sekitar kawasan perumahan, namun gagal," katanya dalam satu kenyataan.

Hasil siasatan awal mendedahkan bahawa Anas Baihaqi sebelum ini pernah menyuarakan rasa berat hati untuk kembali ke asrama MRSM Pekan kerana tidak sanggup berjauhan daripada keluarga tercinta.

Lebih membimbangkan, Anas Baihaqi turut membawa bersama telefon bimbit milik adiknya, namun sehingga kini tiada sebarang jawapan apabila dihubungi.

"Remaja itu dipercayai keluar rumah dengan memakai kemeja-T merah, seluar trek hitam dan kasut sukan jenama Puma.

"Dia juga membawa kasut sukan, beg galas sekolah dan wang tunai sekitar RM200,” ujar Wan Zahari.

Artikel Berkaitan:

Wan Zahari berkata, ini merupakan kali pertama Anas Baihaqi dilaporkan hilang dan pihak polis kini sedang giat menjalankan siasatan termasuk usaha mengesan lokasi remaja tersebut.

"Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau terlihat kelibat remaja ini untuk segera menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp