
Pelajar Tingkatan 3 hilang dari asrama ditemui selamat. 'Syukur Ya ALLAH. Terima kasih kepada semua yang mendoakan'
Setelah empat hari penuh debaran dan doa daripada orang ramai, pelajar Tingkatan Tiga yang dilaporkan hilang dari asrama sekolah di daerah Kuala Terengganu, Terengganu akhirnya telah ditemui dalam keadaan selamat.
Muna Qaisara Muhammad Budiman, 15, yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, mencetuskan kebimbangan ramai termasuk ahli keluarga, warga sekolah dan netizen yang mengikuti perkembangan kes berkenaan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, ketika dihubungi telah mengesahkan penemuan pelajar berkenaan pada petang Rabu.
"Pelajar terbabit telah ditemui dalam keadaan selamat. Butiran lanjut akan dikongsikan selepas ini," katanya ringkas seperti dipetik dalam portal tempatan.
Berita penemuan Muna Qaisara nyata membawa kelegaan dan rasa syukur kepada seluruh masyarakat yang mengikuti rapat perkembangan kehilangannya.
Sebelum ini, pelbagai usaha telah digerakkan termasuk hebahan di media sosial oleh warga maya yang turut menzahirkan rasa prihatin dan simpati terhadap keluarga pelajar berkenaan.
Malah, Sinar Bestari turut menyiarkan artikel berkenaan kehilangan Muna Qaisara Selasa lalu, sebagai usaha berkongsi maklumat kepada orang ramai agar sama-sama peka dan memberi kerjasama dalam usaha pencarian pelajar Tingkatan Tiga ini.