Kerjasama IBM Malaysia dan Politeknik Balik Pulau (PBU) tingkatkan kemahiran pelajar
PETALING JAYA - IBM Malaysia dan Politeknik Balik Pulau (PBU), Pulau Pinang, mengumumkan kerjasama untuk menubuhkan IBM SkillsBuild @ PBU Learning Institute bagi memenuhi keperluan pekerja yang memiliki kemahiran bernilai tinggi dalam industri.
Kerjasama yang diumumkan baru-baru ini dijangka bakal memberi manfaat kepada hampir 800 pelajar PBU setiap tahun.
Pengarah Politeknik Balik Pulau, Abdul Hanif Mustapha, berkata kerjasama dengan IBM ini adalah tepat dan bersesuaian dengan keperluan industri masa kini.
“Mengembangkan bakat generasi akan datang adalah sangat penting bagi Malaysia. PBU akan terus berinovasi untuk memperluas dan memperdalam kurikulum pengajian agar dapat menawarkan pengetahuan dan pendidikan terkini serta berkaitan industri kepada pelajar kami.
"Melalui IBM SkillsBuild @ PBU Learning Institute, PBU menyasarkan untuk melahirkan minda muda yang cemerlang di negara ini dan memberi mereka peluang untuk belajar kemahiran digital dan kebolehan lain yang relevan agar dapat berkembang maju dalam ekonomi digital masa depan, ” tambahnya.
Di bawah kerjasama itu, PBU akan memanfaatkan platform IBM SkillsBuild untuk mengakses kandungan pembelajaran secara percuma dan mengesahkan pembelajaran yang diperoleh daripada pakar-pakar IBM.
Antara modul yang ditawarkan di dalam program ini ialah keselamatan siber, sains data, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (artificial intelligent), dan kemahiran-kemahiran profesional lain.
Kerjasama ini merupakan antara komitmen perancangan global IBM bagi menyediakan 30 juta pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Untuk mencapai matlamat ini, IBM telah mengumumkan lebih 170 kerjasama yang melibatkan perkongsian akademik dan industri baharu.
Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif IBM, Arvind Krishna, langkah ini bagi menyediakan akses kemahiran digital kepada semua orang.
"Bakat ada di mana-mana, namun peluang untuk mendapatkan latihan tidak selalunya tersedia. Inilah sebabnya mengapa kita mesti mengambil langkah berani untuk memperluas akses kepada kemahiran digital dan peluang pekerjaan kepada lebih ramai orang tanpa melihat latar belakang mereka.
“Hari ini, IBM komited untuk menyediakan 30 juta orang dengan kemahiran baharu menjelang 2030. Ini akan membantu mendemokrasikan peluang, mengisi jurang kemahiran yang semakin meningkat, dan memberi alat yang diperlukan pekerja bagi membina masa depan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri dan masyarakat," ujarnya.