download
download

Kerjasama MDEC, UNICEF, Yayasan Peneraju tingkatkan pengetahuan digital pelajar

Mohd Khairi Mohamad Yusri
01 Dec 2021 10:01am
A
A
A

CYBERJAYA - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera bagi meningkatkan usaha pembangunan persekitaran pembelajaran digital belia.

Menerusi sasaran untuk memperkukuh bakat digital semasa proses pemulihan daripada pandemik Covid-19, kedua-dua kerjasama berkenaan telah dimeterai melalui Gerakan #mydigitalmaker MDEC.

Ketua Pegawai Kemahiran Digital dan Kerjaya, MDEC, Dr Sumitra Nair, berkata, kerjasama strategik dengan UNICEF dan Yayasan Peneraju adalah bukti usaha perbadanan itu dalam memastikan Malaysia terus melahirkan kumpulan bakat digital yang inovatif dan kreatif, selaras dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

"Perubahan pasaran bakat yang pantas membawa peluang baharu kepada golongan belia dan saya yakin kemahiran yang diterapkan sejak awal adalah faktor penting dalam memupuk golongan belia untuk menjadi pekerja yang tangkas dan berdaya saing," katanya.

BACA JUGA: Cikgu El Gamillo juara #CikguJuaraDigital 2021 MDEC, nekad bantu pendidik mahir guna teknologi digital

BACA JUGA: Tiga langkah mudah berhadapan kritikan, guru-guru boleh jadikan ini sebagai panduan

Kerjasama MDEC dan UNICEF menyasarkan untuk mencipta peluang dan kerjaya lebih baik kepada belia tersisih dengan membawa mereka bersama-sama pemimpin serta pakar industri di dalam platform yang sama untuk bimbingan kerjaya dan mentor.

Wakil UNICEF ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei, Dr Rashed Mustafa Sarwar, berkata UNICEF sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan MDEC dalam menawarkan peluang pembangunan kemahiran dan mencipta kerjaya yang lebih baik untuk golongan belia di Malaysia.

“Kerjasama strategik seperti ini akan memacu peluang yang inklusif dalam pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan. Menjadi keutamaan kami untuk membina kemahiran belia untuk memastikan tiada sesiapa yang akan tertinggal,” ujarnya.

Menerusi kerjasama ini juga, kedua-dua pihak memberi fokus kepada program yang dijalankan bersama-sama serta bersendirian yang berasaskan akademik dan kerjaya, dibangunkan oleh MDEC dan UNICEF.

Kerjasama bersama Yayasan Peneraju pula akan memberi fokus kepada pembangunan persekitaran digital masa depan untuk belia Bumiputera melalui program peningkatan pengetahuan iaitu Yayasan Peneraju High Impact Programme – Competition (Technology) untuk pelajar sekolah di seluruh negara menerusi platform maya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Peneraju, Ts Mohd Muzzammil Ismail, berkata pihaknya melihat kerjasama strategik dengan MDEC ini sebagai faktor penting dalam mendepani cabaran memupuk modal insan khususnya bakat Bumiputera untuk menjadikan mereka golongan yang berpotensi tinggi dalam kepakaran teknologi.

“Sebagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, mandat kami adalah untuk meningkatkan kualiti bakat profesional Bumiputera dalam sektor berimpak tinggi. Kami perlu memastikan penerima manfaat kami dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan teknologi untuk membolehkan mereka berjaya dalam kerjaya dan kehidupan,” jelasnya.

Kedua-dua kerjasama ini merupakan sebahagian daripada kempen #SayaDigital MDEC dan telah memberi manfaat kepada lebih 2.2 juta kanak-kanak menerusi pengintegrasian pemikiran berasaskan komputer di dalam kurikulum sekolah dan penganjuran aktiviti kokurikulum.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok