Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham

Kes kluster pendidikan Covid-19 meningkat, KKM saran pelajar, guru disaring

AZLEENDA SAHALUDIN
06 Apr 2023 10:16am
A
A
A

Kes Covid-19 meningkat mendadak dengan 11 kluster pendidikan telah dilaporkan bagi minggu epidemiologi ketiga belas 2023 (ME12/2023) dari 26 Mac hingga 1 April lalu.

Peningkatan kes dan kluster berkenaan adalah ekoran daripada pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac lalu selain pergerakan masyarakat yang banyak ketika musim cuti persekolahan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 11 kluster yang dilaporkan, enam daripadanya membabitkan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) antaranya tiga kolej dan satu sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh serta sekolah menengah.

Katanya, lima lagi kluster pendidikan lain adalah empat di Maktab dan satu membabitkan taman asuhan kanak-kanak (Taska).

“Ekoran daripada peningkatan kes dan kluster Covid-19 ketika ini, KKM memberi penekanan kepada sektor pendidikan untuk meningkatkan aspek kesihatan, termasuklah kepentingan menjalani saringan bergejala terhadap pelajar, guru dan kakitangan sebelum memasuki kawasan sekolah atau institusi.

“Ujian RTK-Ag ke atas pelajar, guru, dan kakitangan perlu dijalankan mengikut strategi pengujian Covid-19, selain memperkasa ibu bapa untuk memantau status kesihatan anak dan bertanggungjawab untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bergejala.

“Institusi terbabit juga perlu menjalankan penilaian risiko penularan jangkitan Covid-19 di institusi masing-masing dari semasa ke semasa supaya tindakan pencegahan dapat segera diambil,” katanya.

Beliua turut mengingatkan kepada Pegawai Kesihatan Daerah supaya menjalankan siasatan dan penilaian risiko untuk menilai status penularan jangkitan bagi sekolah atau institusi pendidikan yang merekodkan kes positif.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, tindakan pembersihan dan disinfeksi serta pengesanan kontak perlu dijalankan di samping melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan Covid- 19.

Sementara itu, beliau memberitahu, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 termasuklah pesakit yang disyaki menghidap penyakit tersebut ke fasiliti kesihatan bagi setiap 10,000 penduduk telah meningkat sebanyak 24.1 peratus pada ME13/2023 berbanding ME12/2023.

Ini menunjukkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME13/2023 telah meningkat 80 peratus berbanding ME12/2023 bagi pesakit kategori satu dan dua, manakala kategori tiga, empat dan lima pula meningkat sebanyak 33.3 peratus.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok