Ada sesetengah ibu bapa mengambil keputusan membawa anak-anak bercuti sempena Cuti Penggal 3 (Akhir Tahun) ke destinasi pilihan. FOTO HIASAN.
Ada sesetengah ibu bapa mengambil keputusan membawa anak-anak bercuti sempena Cuti Penggal 3 (Akhir Tahun) ke destinasi pilihan. FOTO HIASAN.

Tangguh percutian elak risiko Covid-19

Ibu bapa disaran buat keputusan bijak

ROSHLAWATY MD RAIEH
26 Dec 2023 11:19am
A
A
A

Peningkatan mendadak kes Covid-19 kebelakangan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, sebaliknya turut meningkat di negara-negara lain.

Menurut Pensyarah Kanan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Hafiz Jaafar, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kenaikan kes jangkitan tersebut.

“Antaranya ialah kitaran varian baharu yang kurang dikenal pasti oleh sistem imunisasi badan termasuk pemberian vaksin atau pun jangkitan varian terdahulu.

“Selain itu, sikap masyarakat yang semakin selesa dan tidak lagi mengamalkan langkah pencegahan seperti ketika kemuncak pandemik melanda Malaysia dahulu, menyumbang kepada kes Covid-19,” katanya kepada Sinar Bestari.

Mohd Hafiz yang juga pakar perubatan kesihatan awam berkata, kenaikan virus Covid-19 sudah semestinya memberi impak kepada masyarakat terutama para pelajar yang dilihat boleh mengganggu proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah.

Mohd Hafiz
Mohd Hafiz

Memandangkan kini musim cuti sekolah, mereka kurang terdedah dengan Covid-19 kerana berada di rumah masing-masing.

Namun, kata Mohd Hafiz, ada sesetengah ibu bapa mengambil keputusan membawa anak-anak bercuti sempena Cuti Penggal 3 (Akhir Tahun) ke destinasi pilihan.

Artikel Berkaitan:

“Saya menyarankan ibu bapa sama ada menangguhkan rancangan untuk bercuti ataupun memilih percutian yang tidak memerlukan mereka berada di tempat sesak pada tempoh lama.

“Sekiranya tidak dapat dielakkan untuk pergi bercuti di tempat yang sesak (misalnya telah membeli tiket lebih awal dan sudah menempah bilik hotel), maka penjagaan kendiri serta langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka serta kerap membasuh tangan perlu diamalkan.

“Segera jalani ujian pengesanan Covid-19 secara kendiri jika bergejala. Dapatkan rawatan dan laporkan ke aplikasi MySejahtera sekiranya keputusan positif,” ujarnya.

Mengenai aktiviti pelajar ketika Covid-19 ini, Mohd Hafiz berkata, tiada bentuk aktiviti spesifik yang perlu dilakukan oleh para pelajar.

“Mereka perlu sentiasa berwaspada dan mengurangkan aktiviti yang boleh memberikan risiko jangkitan tinggi,” kata beliau.

Tambahnya, aktiviti lain masih boleh diteruskan seperti biasa kecuali mereka yang bergejala dinasihatkan berada di rumah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok