
Pelajar cemerlang 9A SPM terima tawaran ke Jordan. 'Kalau ayah dan emak masih ada, tentu mereka gembira...'
Kehilangan kedua-dua ibu bapa pada usia muda bukanlah sesuatu yang mudah buat Muhammad Haziq Hakimi Afzal, 18, apatah lagi dia kini terpaksa meneruskan hidup sebatang kara.
Ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan meninggal dunia akibat penyakit kaki gajah ketika anak tunggal ini baru berusia sembilan tahun.
Namun pada 24 Julai tahun lalu, dia sekali lagi diuji apabila emaknya pula menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi penyakit jantung.
Lebih memilukan Muhammad Haziq tidak sempat berkongsi kejayaannya yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dan baharu saja menerima tawaran menyambung pengajian di Universiti Jordan dalam jurusan Pengajian Islam.
Menurutnya, bukan mudah untuk dia melaluinya seorang diri, apatah lagi emaknya pergi ketika dia sedang membuat persediaan menghadapi peperiksaan percubaan SPM.
"Saya hilang semangat selepas emak yang satu-satunya insan yang ada dalam hidup saya pergi buat selama-lamanya.
"Tapi pesanan emaklah yang menjadi kekuatan kepada saya. Dia selalu ingatkan supaya belajar bersungguh-sungguh kerana dia hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan sekolah dan arwah ayah pula hanya pengawal keselamatan," katanya ditemui di rumahnya di Taman Pedas Perdana di sini pada Sabtu.
Berpegang kepada pesanan itulah Muhammad Haziq nekad untuk memastikan dia memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM sekali gus mahu mengubah nasib dirinya.
Dia juga bersyukur kerana dikelilingi guru dan rakan-rakan yang sentiasa memberi semangat, begitu juga dengan bapa dan ibu saudara yang banyak membantu.
"Selepas emak meninggal, saya menumpang di rumah bapa saudara di Chengkau di sini supaya lebih dekat untuk ke sekolah.
"Hanya beberapa bulan lalu selepas selesai peperiksaan SPM, saya pulang tinggal di rumah arwah emak ini," katanya.
Selain itu katanya, sementara menunggu menyambung pengajian, dia menjadi guru ganti Kelas Agama Fardu Ain dan mengajar tuisyen.
Pada masa sama, dia juga mencari duit poket dengan menulis cerpen dan puisi yang dihantar kepada Dewan Bahasa Dan Pustaka.
"Dapatlah duit sikit untuk saya teruskan hidup selain duit pencen penakat arwah Ibu yang diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM700 sebulan.
"Insya-ALLAH bulan Oktober nanti saya akan mengikuti kursus Bahasa Arab sebagai persediaan untuk menyambung pengajian ke Jordan,"katanya.
Tambahnya lagi, jika wanita yang melahirkannya itu masih ada, pastinya dia berbangga dengan pencapaiannya yang cemerlang dalam SPM sehingga ditawarkan menyambung pengajian di Jordan.
"Ini harapan emak untuk melihat saya berjaya, tapi sayangnya dia sudah tiada," katanya.
WARTAWAN: SYAMILAH ZULKIFLI