Kredit foto: Bernama
Kredit foto: Bernama

Kesatuan Guru gesa KPM ambil tindakan tegas kepada guru yang menolak penempatan ke Sarawak

ROSHLAWATY MD RAIEH
10 Mar 2023 10:01am
A
A
A

Tindakan 222 guru-guru baharu yang menolak penempatan perkhidmatan ke Sarawak baru-baru ini, masih lagi menjadi polemik dalam kalangan masyarakat.

Sebahagian besar mahukan Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tegas kepada mereka yang enggan ke sana.

Ada sesetengah pula berpandangan, jika guru-guru yang terpilih tidak mahu ke negeri yang terletak di wilayah barat, pulau Borneo itu, beri sahaja peluang kepada orang lain yang benar-benar mahu menjadi pendidik.

Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) dan Kesatuan Guru Sarawak (STU) melahirkan rasa kesal dan terkilan dengan tindakan guru-guru baharu yang menolak untuk mengajar di Sarawak.

Presiden KGBS, Zulkiflee Sebli berkata, mereka (guru-guru baharu) sudah melanggar arahan Perintah Am dan menentang etika seorang guru.

Ujarnya, salah satu tindakan yang boleh diambil ialah dengan menangguhkan pelantikan guru-guru ini selama tiga tahun sebagai penalti kerana ingkar perintah dan arahan.

Sambung beliau lagi, isu berkenaan harus ditangani segera kerana ia menggambarkan cikgu baharu dari luar Sarawak beranggapan negeri ini berkelas rendah.

“Sekiranya tiada tindakan tegas dari KPM, maka tidak mustahil isu yang sama akan terus berulang kembali,” jelasnya seperti dipetik menerusi sebuah portal tempatan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Bestari melaporkan seramai 222 guru daripada 3,227 guru 'one-off' yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu sehingga 30 September tahun lalu.

Jumlah itu dikongsi oleh KPM menerusi jawapan lisan di laman sesawang Parlimen pada Isnin.

Dalam kenyataan KPM, mereka memaklumkan 3,227 guru 'one-off' itu merangkumi dua kategori iaitu 2,621 guru lantikan tetap dan 606 guru lagi secara 'Contract of Services (CoS)' yang ditempatkan di Sarawak.

Sementara itu, Presiden STU, Kullin Djayang pula menggesa KPM memberi keutamaan kepada anak Sarawak untuk berkhidmat di negeri tersebut.

“Anak Sarawak lebih faham tentang adat, budaya, persekitaran dan bahasa penduduk tempatan.

“Mereka juga akan lebih mudah mengadaptasikan diri dengan keadaan sekeliling termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman disebabkan guru-guru ini adalah anak jati Sarawak,” ujar beliau.

Sambung Kullin lagi, pendidik yang lulus temu duga sebagai guru tetapi menolak kerana memilih tempat bertugas wajar dikenakan tindakan disiplin.

“STU berharap tindakan disiplin yang berat atau lebih baik disisihkan terus daripada senarai calon guru perlu diambil kerana tindakan mereka jelas menunjukkan diri tidak mempunyai jiwa keguruan yang kental,” akhiri beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok