KMB to Bangkok rai budaya, ilmu dua negara

NURBAYA ABDUL REZAK
07 Dec 2023 07:00am
A
A
A

Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB) Universiti Putra Malaysia (UPM) memeterai persefahaman kebudayaan, kesukarelawanan dan pendidikan dengan dua buah universiti terkemuka di Bangkong, Thailand.

Pengetua Kolej KMB, Profesor Madya Dr Jasronita Jasni berkata, kolaborasi antarabangsa itu membabitkan Universiti Chulalongkorn dan King Mongkut Institute of Technology Ladkrabang.

Beliau berkata, usaha itu bertujuan mendedahkan pelajar antara universiti mempelajari aspek budaya, ekonomi, pendidikan dan perubatan.

"Program ini akan menjadikan pelajar UPM lebih terbuka dalam memberikan pendapat, berpeluang melakukan pelbagai aktiviti kemanusiaan dan mempelajari budaya serta pendidikan di Thailand,” katanya kepada Sinar Bestari di sini baru-baru ini.

Jasronita berkata, persefahaman itu sempena program mobiliti KMB To Bangkok untuk mewujudkan jaringan sosialisme ampuh bersama pelajar dari Thailand dan berkongsi pengetahuan akademik, kesukarelawanan, aktiviti kebudayaan serta pembelajaran sepanjang hayat.

"Program ini turut menerima tajaan dari Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, UPM, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN) UPM, Putra International Centre (i-Putra) dan Darn Lukis Sdn Bhd.

”Lawatan membabitkan Fakulti Perubatan, Agriculture and Technology, Science; Fakulti Veterinar di Chulalongkorn, King Mongkut Institute of Technology Ladkrabang dan program pertukaran budaya turut dijalankan.

"Aktiviti kesukarelawanan dan khidmat komuniti turut dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Ia melibatkan program kesukarelawanan bersama warga emas di Klinik Geriatrik Chulalongkorn Hospital, Aktiviti Terapi Minda bersama Warga Emas di Rumah Persatuan Wanita dan Aktiviti Plogging di Hua Takhe Community," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata lagi, program itu adalah rentetan memorandum persefahaman oleh Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul dan Fakulti Sains Chulalongkorn University, yang sedia ada.

Sementara itu, Pengarah Program KMB To Bangkok, Ahmad Syahrir berkata, penganjuran itu berpegang kepada objektif dalam memberi peluang khususnya pelajar KMB UPM mendapatkan pengetahuan dan kesimbangan pembelajaran dalam dan luar negara.

"Ia juga meningkatkan kegiatan kesukarelawanan, kemahiran komunikasi dan kreativiti visual bersama komuniti di sana," katanya.

"Diharapkan menerusi usaha ini, dapatlah melahirkan pelajar yang cemerlang sahsiah, akademik dan kokurikulum sejajar dengan Matlamat 1 dan 3 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang dan Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri dan Masyarakat," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok