
Kolej Komuniti Jasin dinobat pasukan terbaik sepak takraw ASKK 2024. Tahniah!
Kolej Komuniti Jasin (KKJS) terus mencipta sejarah gemilang apabila dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik dalam sukan sepak takraw sempena Anugerah Sukan Kolej Komuniti Malaysia 2024 (ASKK) yang berlangsung penuh meriah di Klana Resort, Seremban pada Ahad malam.
Pasukan takraw KKJS yang diketuai oleh Mohd Azuan Ali berjaya menampilkan prestasi luar biasa sepanjang tahun ini, sekali gus mengungguli anugerah paling berprestij dalam dunia sukan di peringkat kolej komuniti.
Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat nama KKJS di persada sukan, malah menjadi simbol kejayaan hasil kerja keras, disiplin dan semangat juang tinggi oleh para atlet serta tenaga pengajar mereka.
“Sudah semestinya seluruh warga KKJS teruja dengan kemenangan ini dan semakin bersemangat untuk mencipta pelbagai kejayaan lagi pada masa akan datang, bukan hanya dalam permainan sepak takraw, malah dalam pelbagai jenis sukan lain lagi,” ujar Pengarah KKJS, Sr Mohamad Kelana Juwit.
Beliau turut menyifatkan kejayaan ini sebagai titik permulaan untuk KKJS terus melangkah lebih jauh dalam dunia sukan bukan sahaja di peringkat IPT, malah sehingga ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Untuk rekod, ASKK 2024 merupakan platform utama dalam mengiktiraf atlet kolej komuniti yang cemerlang dalam pelbagai disiplin sukan. Ia turut memberi penghargaan kepada jurulatih, pengurus dan individu yang menjadi tulang belakang dalam pembangunan sukan di peringkat institusi pendidikan ini.
Antara kolej komuniti lain yang turut menerima anugerah ialah:
- Anugerah Olahragawan Kolej Komuniti – Kolej Komuniti Sandakan
- Anugerah Olahragawati Kolej Komuniti – Kolej Komuniti Kuala Terengganu
- Anugerah Ikon Sukan Kolej Komuniti (Alumni) – Kolej Komuniti Tawau
- Anugerah Jurulatih Sukan Terbaik – Kolej Komuniti Rompin
- Anugerah Pengurus Sukan Terbaik – Kolej Komuniti Paya Besar
- Anugerah Pengantarabangsaan Sukan – Kolej Komuniti Kok Lanas
- Anugerah Khas Penyelaras Sukan Cemerlang – Kolej Komuniti Paya Besar
- Anugerah Khas Pegawai Belia Dan Sukan – Kolej Komuniti Langkawi
Kemenangan ini bukan sahaja memperkukuh peranan KKJS dalam memartabatkan sukan sepak takraw tetapi turut menjadi inspirasi kepada kolej komuniti lain untuk terus membina budaya kecemerlangan dalam bidang sukan.
Dengan semangat juang yang ditunjukkan, tidak mustahil KKJS akan terus mengharumkan nama institusi dan negara pada masa hadapan.