
Qaseh Rania: Bintang bola sepak wanita harapan negara!
Qaseh Rania produk keluarga
Dalam dunia kesukanan yang semakin berkembang, bola sepak wanita kini bukan lagi satu bidang asing.
Bagaimanapun, kejayaan seseorang pemain bukan datang dengan mudah terutama bagi mereka yang perlu membina kerjaya tanpa bantuan mana-mana pihak luar.
Sinar Bestari berasa cukup bertuah kali ini, apabila seorang pelajar berusia 15 tahun tampil berkongsi pengalaman dan kisah kejayaannya dalam arena bola sepak.
Qaseh Rania Khairul Najib merupakan produk keluarga yang membuktikan sokongan daripada orang tersayang memainkan peranan besar dalam membentuk atlet berkualiti.
Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Utama (1), Selangor itu hanya menunggu masa untuk 'terbang' ke Jerman bagi meneruskan cita-cita sebagai pemain bola sepak yang hebat.

Bermula dengan latihan kecil di padang sekolah, kini gadis tinggi lampai ini bakal beralih ke pentas kejohanan dunia.
Qaseh Rania mengakui ibu, Siti Zainah Mahadi dan bapanya, Khairul Najib Ibrahim banyak membantu kariernya sehingga sekarang.
"Papa (Khairul Najib) yang paling membantu. Walaupun dia tegas dan adakalanya lebih garang berbanding jurulatih sebenar, banyak yang saya belajar termasuk dalam melatih kekuatan diri termasuk menjalani latihan di gim sejak usia 12 tahun.
"Mama (Siti Zainah) pula menyokong dari segi pemakanan. Dia akan sediakan makanan yang berkhasiat dan paling penting ada disiplin yang perlu diikuti mengenai menu dan waktu tidur," katanya dalam sesi podcast Bual Bestari baru-baru ini.

Qaseh Rania turut 'membocorkan' rahsia bahawa dia mula meminati sukan bola sepak itu disebabkan abangnya yang sering mengajak ke padang.
Ketika itu, dia mengakui sedang seronok bermain bola jaring sehingga ke peringkat sekolah.
"Masa itu, Rania berumur 10 tahun, abang sudah bawa ke futsal. Pada mulanya, main untuk suka-suka tetapi, semakin lama semakin seronok.
"Selepas Papa nampak Rania boleh bermain bola sepak, dia perkenalkan saya dengan bola padang. Kalau tengok televisyen siaran bola, dia akan suruh tengok cara mereka bermain.

"Jadi, daripada situlah Papa asah bakat saya untuk jadi pemain bola sepak sampai sekarang,” katanya.
Perjalanan Qaseh Rania turut diwarnai dengan pengorbanan, kesungguhan, minat dan dorongan daripada ahli keluarga.
Bermula dengan hanya menemani abang bermain bola sepak di padang pada waktu petang, akhirnya Qaseh Rania muncul sebagai seorang pemain bola sepak Asia pertama ke VfL Wolfsburg di Jerman.

PROFIL
Nama: Qaseh Rania Khairul Najib
Umur: 15 tahun
Tinggi/Berat: 172cm/64kg
Skil: Kekuatan fizikal yang baik, pengimbangan tepat, kedudukan atau posisi baik, kepemimpinan hebat
Posisi: Penyerang dan pemain tengah
Kaki pilihan: Kanan

Pengalaman kelab bola sepak
- 2020 - MOTA FC 2020 (Mewakili Pasukan Lelaki Bawah 10, 12, 14 Tahun).
- 2021 - Pasukan Perempuan Kuala Lumpur 2021 (Mewakili Pasukan Perempuan Bawah 12 Tahun).
- 2022 - KL Sunbears FC (Mewakili Pasukan Kanan Wanita).
- 2022 - SIME Darby FC (Mewakili Pasukan Wanita bawah 14 tahun).
- 2023 - Klasiko FC (Mewakili Pasukan Lelaki Bawah 15 tahun).
- 2023 - Majlis Bandaraya Subang Jaya FC (Mewakili Pasukan Senior Wanita).
- 2024 - Majlis Bandaraya Petaling Jaya FC (Mewakili Pasukan Senior Wanita).
- 2025 - Pasukan Kebangsaan Wanita Malaysia U-17 (Mewakili Pasukan Kebangsaan Wanita Malaysia).

